PARLIMEN: Industri permainan digital catat hasil jualan, eksport RM45 juta

PARLIMEN: Industri permainan digital catat hasil jualan, eksport RM45 juta

GOBIND Singh Deo semasa di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri permainan digital negara mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa industri permainan digital di negara ini memiliki potensi yang besar untuk dimajukan.

Kata beliau, kerajaan akan memberi sokongan kepada industri tersebut dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program peningkatan kemahiran serta kemahiran semula dan lain-lain.

“Bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyediakan platform dan peluang bagi syarikat-syarikat untuk meneroka akses pasaran.

“Antara pasaran permainan digital yang sering disertai termasuk Games Developer Conference di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China dan Gamescom di Eropah.

“Syarikat-syarikat permainan digital juga berpeluang untuk mempromosikan produk mereka serta menjalinkan hubungan perniagaan dengan penerbit dan pengedar permainan digital di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang memintanya untuk menyatakan permainan digital tempatan yang telah menerima dana daripada MDEC sejak 2014 sehingga kini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, MDEC menerima peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM163 juta dari 2014 sehingga 2024 bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital dan juga kandungan teknologi kreatif.

“Sehingga kini, sebanyak 60 buah projek telah diluluskan oleh MDEC dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM36.7 juta bagi pembangunan permainan digital, meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih.

“Kesemua projek ini juga telah berjaya mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya