KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan melaksanakan sistem dua harga bagi kadar pasaran petrol RON95 akan merumitkan pengendali, malah menganggapnya sebagai idea kurang sempurna dan kurang bijak.
Sistem dua harga itu bertujuan 15 peratus golongan T15 membayar kadar semasa pasaran petrol RON95, sementara yang lain mengikut harga subsidi.
Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, jika ia tetap dilakukan, ia turut akan merumitkan pekerja stesen petrol dan pengguna ketika mengisi minyak selain berisiko menambah kos proses menjual.
“Kenapa pula 85 peratus rakyat dan stesen petrol dirumitkan hanya sebab mahu kenakan 15 peratus?” soalnya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan sepatutnya mengenakan levi petrol kepada golongan berkenaan ketika memperbaharui cukai jalan.
Beliau menambah, dengan cara berkenaan, kerajaan tidak perlu melaksanakan sistem dua harga di stesen minyak, namun dalam masa sama masih mengutip wang sebagai kos subsidi bagi golongan T15.
“Katakan setiap kenderaan golongan T15 isi minyak 50 liter seminggu atau sekitar 2,600 liter setahun, manakala kos subsidi ialah RM1 satu liter, kerajaan boleh pula kenakan levi petrol RM2,600 setahun ke atas lesen kenderaan golongan T15.
“Sekiranya mereka benar-benar dari golongan T15 atau mampu membeli kereta melebihi RM300,000, saya rasa ia bukan masalah untuk mereka membayar RM2,600 setahun bagi setiap kenderaan milik mereka,” jelasnya.
Semalam, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan bersedia berdepan dengan reaksi awam berhubung komitmen untuk menarik semula subsidi petrol mulai pertengahan 2025.
Beliau juga berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sistem dua harga supaya 15 peratus T15 membayar petrol mengikut harga pasaran.
Mengulas lanjut Ka Siong turut mempersoalkan gelaran T15 yang diwujudkan oleh kerajaan.
“Saya pun tak faham dari mana datangnya T15 ni? Kerajaan kena konsisten. Tak boleh sesuka hati, sekejap T15, T18, T20, maha kayalah. Saya menganggap pasangan guru gred DG48 ke atas dikategorikan sebagai T15 dan dianggap sebagai maha kaya adalah adil bagi pasangan suami isteri yang rajin bekerja.
“Ini seolah-olah menghukum pasangan suami isteri yang rajin bekerja setiap hari untuk memperolehi RM13,295 sebulan. Mana mungkin gaya hidup pasangan guru ini setaraf dengan jutawan,” katanya lagi. – UTUSAN