PARLIMEN: Hutang Persekutuan dijangka turun 7.5 peratus 

PARLIMEN: Hutang Persekutuan dijangka turun 7.5 peratus 

ANWAR IBRAHIM– JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Trend pertumbuhan hutang Kerajaan Persekutuan dijangka terus menurun kepada sekitar 7.5 peratus mengakhiri 2024 berbanding 8.6 peratus pada tahun lalu dan 10.2 peratus pada 2022.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penurunan itu menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan nisbah hutang kepada anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tidak melebihi 60 peratus dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana seperti yang ditetapkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sehingga akhir Jun lalu, hutang Kerajaan Persekutuan mencatat sebanyak RM1,227.5 bilion.

 

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2024, pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan pula adalah berjumlah RM112.5 bilion, lebih rendah berbanding RM128 bilion bagi tempoh yang sama pada 2023.

 

“Secara amnya, setiap tahun kerajaan perlu membuat pinjaman bagi membiayai defisit fiskal dan membuat bayaran balik hutang yang matang berikutan kedudukan kewangan kerajaan yang masih dalam defisit.

 

“Terimaan pinjaman yang digunakan bagi membiayai defisit dan bayaran balik hutang matang adalah dibenarkan berdasarkan kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Akta-Akta berkaitan pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat semalam.

 

Anwar berkata, dalam memastikan paras hutang terkawal dan terurus, beberapa langkah kawalan telah dan akan dilaksanakan dalam usaha mengurangkan paras hutang pada tahun-tahun akan datang.

 

Kata beliau, antaranya adalah dengan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur bagi memastikan pinjaman baharu adalah lebih rendah berbanding semasa pandemik tanpa menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

 

“Selain itu, memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan supaya kerajaan sentiasa mempunyai lebihan baki semasa serta dapat menampung sebahagian perbelanjaan pembangunan (DE).

 

“Seterusnya, mengoptimumkan perbelanjaan awam antaranya menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel mulai 10 Jun lalu bagi mengurangkan pembaziran dan ketirisan di samping melindungi kesejahteraan golongan rentan.

 

“Pada masa sama, memastikan pinjaman kerajaan adalah semata-mata untuk membiayai DE yang ditumpukan kepada projek berimpak tinggi seterusnya memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya