PARLIMEN: Ancaman terhadap Sabah terkawal

PARLIMEN: Ancaman terhadap Sabah terkawal

SHAMSUL Anuar Nasarah semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Situasi semasa ancaman keselamatan di Sabah berada dalam keadaan terkawal selepas beberapa atur gerak pengoperasian aset dan anggota pelbagai pasukan keselamatan serta penguatkuasa dilaksanakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kedudukan strategik Sabah yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia secara langsung mendatangkan ancaman keselamatan.

Kata beliau, ancaman tersebut adalah seperti penyeludupan barangan dan senjata, kemasukan pendatang haram, kumpulan ekstremisme dan ancaman penculikan untuk tebusan.

Jelasnya, kerajaan melalui pasukan keselamatan negara sentiasa komited untuk memelihara kedaulatan dan meningkatkan keselamatan serta ketenteraman awam di Negeri Bawah Bayu itu.

“(Antaranya) pelaksanaan Operasi SANGGAH di bawah seliaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Operasi GASAK Laut dan Darat bagi membanteras elemen-elemen yang mempunyai kaitan dengan anasir asing, militan serta tali barut,” katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN- Putatan) yang memintanya untuk menyatakan tindakan terkini yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu-isu keselamatan di kawasan sempadan Sabah.

Mengulas lanjut, Dr. Shamsul berkata, dalam menguatkuaskan undang-undang terhadap elemen-elemen jenayah rentas sempadan, pasukan penguatkuasa melaksanakan Operasi Bersepadu dan Operasi Bersepadu Khas

Selain itu katanya, bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan penyusupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dibasmi, kerajaan melaksanakan Operasi Pusat Pemeriksaan Darat (RCP) Kalabakan dan Sapi Nangoh, Beluran iaitu laluan utama yang menghubungkan kawasan Pantai Timur serta Barat Sabah.

“Operasi Pangkalan Pemeriksaan di laut melalui penguatkuasaan ke atas pergerakan kapal-kapal bukan konvensional dan bot-bot nelayan negara jiran di laluan khas yang ingin menjalankan aktiviti perdagangan barter di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dilakukan di kawasan perairan ESS Zone juga kekal dikuatkuasakan di enam buah daerah iaitu Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran,” jelasnya.

Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah melaksanakan operasi berjadual yang mana aset agensi itu sentiasa berada di laut untuk melaksanakan rondaan.

Tambahnya, kerajaan turut memastikan pengukuhan dan perluasan kerjasama pertukaran serta perkongsian maklumat perisikan melibatkan pelbagai agensi serta jabatan dalam negara bersama pihak berkuasa Filipina dan Indonesia.

“Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah menambah dua Batalion PGA baharu di Sabah iaitu Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak bagi memastikan kawalan sempadan negara terus menerus dikawal dan dipantau secara holistik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya