KUALA LUMPUR: Anak-anak pengikut Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) yang diselamatkan sebelum ini akan dikembalikan kepada pendidikan arus perdana.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis sudah menyelamatkan seramai 625 kanak-kanak yang kemudiannya diasingkan mengikut beberapa pecahan seperti mempunyai identiti diri, ada sijil lahir, ada Mykad.
Bagaimanapun, kata beliau, terdapat sebahagian kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil lahir, MyKad, lambat daftar dan ada juga kanak-kanak yang dikategorikan sebagai tidak sah taraf.
“Sementara siasatan dibuat untuk membetulkan keadaan ini, kerajaan harus memikirkan masa depan kanak kanak ini. Memberikan identiti yang betul, sah mengikut peraturan undang-undang dalam negara kita.
“Kemudiannya, aspek kebajikan kanak-kanak ini akan diberi perhatian di bawah tanggungjawab kementerian yang lain.
“Misalnya, selesai identiti diri itu akan memastikan kebajikan mereka terjaga. Kemudian mereka dikembalikan kepada pendidikan arus perdana. Kita ke arah itu,” katanya semasa membentangkan laporan mengenai GISBH di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tiada motif politik dalam siasatan yang dijalankan ke atas GISBH kerana ia melibatkan pelbagai jenayah termasuk terhadap kanak-kanak.
“Wujud pelanggaran terhadap banyak undang-undang dan kita perlu menjalankan siasatan dengan betul, bertanggungjawab dan membiarkan proses undang undang mengambil tempat yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, siasatan polis setakat ini mengesahkan ada pengakuan bahawa amalan terhadap ajaran Aurad Muhammadiah ini masih lagi dilakukan oleh kalangan pengikut GISBH yang ditangkap dan disoal siasat.
“Kalaupun ada kenyataan di luar yang menyebut bahawa mereka sudah pun tidak lagi mengamalkannya, itu kenyataan mereka. Kita akan hanya bercakap berasaskan kepada butiran dan dapatan siasatan yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga sedang membina family tree untuk mengesan susur jalur bagi mengelakkan masalah nasab pada masa hadapan, kerana kompleksnya apabila anak yang ditinggalkan dalam keadaan tidak mengenali susur galur keluarga.
“Itu semua dilakukan secara telus oleh pakar-pakar psikologi kita. Di Polis, kita ada D11 dan ini melibatkan peranan yang besar bilangannya, ribuan anggota polis dan juga pegawai kerajaan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“KDN memperhalusi isu ini satu persatu, diasingkan, setelah dilakukan apa yang kita panggil sebagai proses krisis intervensi (campur tangan) terhadap kanak kanak ini,” jelasnya. – UTUSAN