PARLIMEN: 8,252 individu `papa’ diselamatkan JKM 

PARLIMEN: 8,252 individu `papa’ diselamatkan JKM 

NORAINI AHMAD-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan  8,252 pengemis dan peleser atau dikenali sebagai papa sehingga Jun lalu  dengan 2020 mencatatkan angka tertinggi 2,108 orang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi 2021 mencatatkan 1,528 orang, 1,280 orang (2022), 2,080 orang (2023) dan 1,256 orang sehingga Jun 2024.

“Data menunjukkan bahawa orang papa yang diambil terdiri daripada individu tiada pekerjaan, pendapatan rendah, masalah kemiskinan, tiada tempat tinggal, dibuang keluarga, celaru mental dan masalah kesihatan lain, penagih dadah, bekas banduan dan lain-lain, katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Menurut beliau, terdapat pelbagai kategori orang papa yang diselamatkan  oleh JKM.

 

Kata Noraini, sekiranya orang papa itu seperti pendatang asing asing tanpa izin (PATI), pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), pesakit mental, pesakit berjangkit atau kronik, penagih dadah, ketagihan alkohol, bahan inhalan dan penagih dadah serta mengutip derma tanpa kelulusan, mereka akan dirujuk kepada setiap agensi yang menguatkuasakan akta berkaitan.

 

“Selain Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183), terdapat beberapa akta lain yang berkuat kuasa untuk menangani isu gelandangan yang terbabit dengan perkara-perkara yang disebutkan tadi seperti Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155), Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Minor Offences Act 1955 (Act 336), Akta Racun 1952 (Akta 366), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283), Akta Kutipan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 (Akta 200), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan pelarian dan Pemohon Suaka.

 

“JKM juga hanya boleh bertindak ke atas mana-mana individu gelandangan yang menepati tafsiran ‘orang papa’ mengikut bidang kuasa yang telah termaktub di bawah Akta 183 bagi menjaga kebajikan dan memulihkan mereka,” katanya.

 

Pada masa sama, kata beliau, pihak kementerian juga  sedang membuat tindakan persediaan untuk gerak kerja ke arah penggubalan rang undang-undang (RUU) berkaitan gelandangan dan pengemisan bagi memastikan isu gelandangan dapat ditangani dengan lebih teratur.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya