PARLIMEN: 522 orang ancam hidupan liar ditahan

PARLIMEN: 522 orang ancam hidupan liar ditahan

Nik Nazmi Nik Ahmad IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 522 orang ditahan pada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dengan jumlah sitaan lebih RM150 juta dari antara 2021 hingga Julai lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah mereka yang ditahan itu termasuk 431 rakyat Malaysia sendiri sementara 91 lagi merupakan warganegara asing.

Kata beliau, kerajaan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan pelbagai langkah bagi menangani masalah pencerobohan haram yang mengancam hutan serta hidupan liar.

“Kita sudah mengambil langkah-langkah menerusi inisiatif Komuniti Renjer yang bermula dengan (penyertaan) 1,000 orang, 1,500 dan sekarang 1,920. Ia membabitkan 500 orang di Sabah dan Sarawak, selebihnya di Semenanjung.

“Yang paling besar komponennya ialah Orang Asli yang sangat mahir dan biasa dengan hidupan liar. Seterusnya komuniti setempat, veteran angkatan tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai langkah yang diambil Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi menangani pengurangan Harimau Malaya akibat aktiviti haram.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan Persekutuan komited dalam mengimbangi keperluan pembangunan di samping memelihara kawasan hutan simpan di Malaysia.

Jelasnya, beberapa usaha sedang dan sudah dilaksanakan oleh NRES, antaranya menyediakan insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan.

“Insentif ini diberi kepada kerajaan-kerajaan negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada serta menambah kawasan perlindungan dan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang baharu.

“Sejumlah kira-kira 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan santuari hidupan liar di Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan. Bagi tempoh 2019 hingga 2024, peruntukan bagi insentif kewangan EFT adalah berjumlah RM550 juta, termasuk sebanyak RM200 juta pada tahun ini,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan mempergiat usaha ke arah mewartakan HSK, kawasan perlindungan serta pewartaan kawasan cadangan HSK khususnya yang terletak dalam kawasan Central Forest Spine (CFS).

“Perkara melibatkan pewartaan kawasan cadangan HSK dalam kawasan CFS telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-81.

“Selain itu, melaksanakan moratorium bagi menghentikan peluasan ladang hutan dalam HSK dan perkara ini juga telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan Mesyuarat MTN ke-81,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya