Parlimen: 198 projek baharu kerajaan bakal dilaksanakan menerusi BIM

Parlimen: 198 projek baharu kerajaan bakal dilaksanakan menerusi BIM

AHMAD Maslan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 198 projek baharu kerajaan dengan nilai  RM10 juta dan ke atas dikenal pasti untuk dilaksanakan menggunakan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebanyak 86.4 peratus iaitu 171 projek baharu sudah dilaksanakan menggunakan BIM sehingga September lalu.

Kata beliau, latihan BIM disertai oleh pihak kontraktor, perunding, pemaju serta agensi kerajaan di Pusat MyBim Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang mempunyai fasilti lengkap dengan perkakasan dan perisian berteknologi tinggi.

“Lebih kurang RM8 juta telah diperuntukkan bagi latihan BIM sejak tahun 2017 dan CIDB menyediakan subsidi latihan sebanyak RM2,000 untuk setiap peserta yang menjalani latihan BIM,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang memintanya untuk menyatakan berapa peratus BIM dilaksanakan untuk projek-projek kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) sudah mengenalpasti pembinaan kaedah secara modular dan pra fabrikasi selain daripada Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi meningkatkan produktiviti melalui kaedah pembinaan yang terkini serta maju.

Jelasnya, kaedah pembinaan secara modular digunapakai oleh beberapa negara maju seperti China, Singapura dan Amerika Syarikat termasuk negara-negara di Eropah serta Timur Tengah.

“Pembinaan secara modular memerlukan reka bentuk yang standard dan berulang sesuai untuk pembinaan bertingkat atau rekabentuk yang sama.

“Pembinaan secara modular adalah selari dengan agenda IBS di Malaysia. Seperti semua sedia maklum, agenda IBS bukan perkara yang baru.

“IBS telah diwajibkan bagi projek kerajaan yang bernilai RM 10 juta dan ke atas,perlu mendapat skor IBS 70 sejak tahun 2008,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya