PARLIMEN: 14 projek mitigasi hadapi banjir kilat sewaktu sidang ASEAN 2025

PARLIMEN: 14 projek mitigasi hadapi banjir kilat sewaktu sidang ASEAN 2025

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan 14 projek mitigasi banjir sebagai kesiapsiagaan berdepan banjir khususnya banjir kilat terutama sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun hadapan.

Dua daripada 14 projek mitigasi banjir itu sudah siap, empat dalam pelaksanaan dan lapan projek di peringkat analisis tender.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, dari tahun 2022 dan 2023 menyaksikan tujuh projek mitigasi banjir sudah siap sebagai tindakan jangka panjang untuk berhadapan banjir.

Kata beliau, empat projek mitigasi banjir sedang dirancang untuk tempoh 2025 hingga 2027.

Jelasnya, kerajaan turut mengambil tindakan jangka pendek melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyelaras tindakan pembersihan sistem saliran seperti longkang dan juga outlet di kawasan terjejas banjir bagi memastikan kapasiti sistem tersebut berada di tahap optimum.

“Selain itu, DBKL juga kini meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran seperti kolam takungan banjir terbuka, kolam takungan bawah tanah, penyelenggaraan sungai, parit induk dan longkang di tepi jalan dari masa ke semasa dan berkala terutama apabila ketibaan musim monsun timur laut atau musim tengkujuh. Kerja-kerja ini diselaraskan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran  Kuala Lumpur.

“Dalam usaha jangka sederhana menghadapi insiden banjir kilat di Kuala Lumpur, DBKL menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan sembilan kolam tertutup bawah tanah.

“Semua kolam takungan banjir telah dilakukan pengorekan kelodak mengikut keperluan semasa dan jadual berkala. Longkang-longkang tepi jalan turut dinaiktaraf bukaan sesalurnya bagi mengurangkan implikasi banjir kilat,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta kerajaan menyatakan tahap kesediaan Kuala Lumpur bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam pada itu, Dr. Zaleha berkata, pembangunan Kuala Lumpur sudah mengintegrasikan elemen climate-change adaptation dan konsep sponge-city.

Jelasnya, setiap kelulusan pembangunan adalah terancang dan perlu mematuhi reka bentuk mengikut Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) Edisi Ke-2 serta kawalan hakisan dan kelodak untuk mengawal aliran air semasa kerja tanah bagi memastikan kesan banjir diminimumkan.

“Langkah ini termasuk penerapan Reka Bentuk Bandar Sensitif Air seperti bio-swale, taman hujan, dan tanah lembap. Semua pemaju kini juga diwajibkan untuk melaksanakan MSMA Edisi Ke-2 serta sistem saliran mampan seperti BIOECODS dalam setiap projek pembangunan mereka.

“Kita juga boleh belajar dari negara-negara lain seperti China dan Jepun. Di Jepun sebagai contoh telah diperkenalkan Kandagawa Storm Water Reservoir di Tokyo. Kaedah intervensi yang kompleks dan berteknologi tinggi ini mampu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur.

“Walau bagaimanapun, kos yang besar menjadi cabaran kepada kerajaan dalam usaha negara menuju belanjawan surplus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya