Pantau polis hidup mewah anggota, laksana ujian saringan urin secara berkala

Pantau polis hidup mewah anggota, laksana ujian saringan urin secara berkala

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap mana-mana pegawai dan anggota terbabit dalam salah laku sehingga memberi imej yang buruk kepada pasukan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, selain memantau pegawai yang dikesan memiliki gaya hidup mewah melebihi kemampuan, ujian saringan awal urin secara berkala juga perlu dilaksanakan.

Razarudin berkata, ini selepas trend pembabitan pegawai polis dalam salah laku jenayah, dadah dan disiplin dilihat semakin meruncing.

“Bukan sahaja gagal dalam penyeliaan, malah ada yang turut sama terbabit dalam kes jenayah, sepertimana yang terkini, seorang Asisten Superintenden bersama enam pegawai rendah polis yang ditahan kerana melakukan pemerasan dan cabul ke atas seorang wanita semasa siasatan kes narkotik.

“Semua warga PDRM harus mengambil iktibar dan peringatan atas apa yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, kepemimpinan di semua peringkat perlu memastikan aspek penyeliaan membabitkan semua pegawai polis di bawah seliaan masing-masing dilaksanakan dan dipantau.

Razarudin memberitahu, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang didapati melanggar peraturan dan disiplin yang ditetapkan.

“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan lebih proaktif dalam mengambil tindakan mengesan salah laku pegawai polis.

“Saya tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua yang terlibat dalam isu salah laku yang memberi imej buruk kepada pasukan,” jelasnya.

Justeru itu, beliau mahu penyeliaan secara pemantauan rapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Razarudin berkata, tindakan tegas harus diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya terkesan penglibatan dalam gejala rasuah, penyalahgunaan dadah, mahupun lain-lain kesalahan yang berkaitan.

“Kepincangan yang berlaku tidak harus dipandang remeh, malah perlu dijadikan iktibar dan pastikan tidak berulang lagi.

“Arahan dan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa perlu diamati, dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa diperingatkan kepada semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya