SHAH ALAM: Pelakon, Rida Rudaini, tidak pernah meletakkan anugerah sebagai kayu ukur kejayaan sebagai anak seni.
Bagi Rita atau Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar, 48, apa yang lebih penting ialah ketakutan sekiranya namanya sudah tidak lagi diingati penonton.
“Secara peribadi, lakonan itu memang jiwa saya jadi, saya okay saja kalau tak menang apa-apa. Tapi, kemenangan ini adalah satu bonus untuk saya.
“Cuma, saya paling takut kalau orang dah mula lupa nama saya.
“Tapi Alhamdulillah, impak Mami Jarum orang ramai masih lagi kenal saya dari yang kecil sampailah dewasa” katanya.
Rita berkata demikian ketika mengulas mengenai kemenangannya membawa pulang gelaran Aktres Pembantu TV Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-36, malam tadi.
Menggenggam anugerah pertama selepas 30 tahun bergelar anak seni, pelakon Mendam Berahi itu tidak menafikan kontroversi yang melandanya sedikit sebanyak membantu dalam pengundian.
“Saya rasa kemenangan ini adalah kerana rezeki kerana bawa dua anak lelaki pada hari ini. Memang menggigil juga bila diumumkan sebagai pemenang.”
“Saya rasa segala kontroversi yang melibatkan saya sebelum ini sedikit sebanyak membantu kepada kemenangan saya ini.
“Sebenarnya saya pelik juga bila setiap kali muat naik status di Instagram (IG), ada saja meletup, jadi tajuk media.
“Saya nak juga bercakap dan buat status macam orang lain.”
“Kadang-kadang ada juga rasa nak senyap ja tetapi nanti rasa macam tak meriah pula media sosial itu. Cuma itulah, janganlah putar belit kenyataan saya.” katanya.
Rita ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media Anugerah Bintang Popular ke-36, di Dewan MBSA, semalam.
Menerusi kemenangan malam tadi, Rita menewaskan empat pesaing dalam kategori yang dama iaitu Alya Iman, Amyza Aznan, Bella Hanna dan Puteri Sarah Liyana. -UTUSAN