KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas mendapat ‘rezeki terpijak’ apabila menerima hadiah pakej umrah daripada penganjur program Himpunan RX-Z Members 6.0 di Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Hadiah tersebut diberi kepada Ismail Abdullah, 68, atau lebih dikenali sebagai Paksu Tomoi yang tular di media sosial kerana komitmennya yang tinggi menyertai program tersebut walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Kuala Ketil, Kedah.
Penganjur program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, hadiah tersebut adalah inisiatif pengurusan RX-Z Members bersama Syarikat Hashwat Alharamayn & Tours untuk menghargainya.
“Biarpun sudah berusia, Paksu Tomoi sanggup datang ke Terengganu bersama RX-Z kesayangannya untuk perjalanan dua hala hampir 1,000 kilometer (km) dari Kedah.
“Paksu adalah ikon permotoran RX-Z dan menjadi idola untuk peminat motosikal ini atas semangatnya menyertai semua program yang dianjurkan sejak program Himpunan RX-Z Members 1.0 berlangsung.
“Alhamdulillah, kita juga menerima pelawaan daripada sebuah syarikat agensi pelancongan yang berbesar hati menawarkan hadiah pakej umrah kepada beliau sebagai penghargaan buatnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hadiah tersebut disampaikan wakil pengurusan dan agensi pelancongan tersebut di kediaman Ismail di Kuala Ketil, Kedah, semalam.
Mohamad Faizal berkata, Ismail dijadualkan mula berangkat mengerjakan umrah pada 20 November depan.
“Masa beri hadiah pakej umrah tu, mata Paksu nampak ‘berkaca’, seolah-olah terharu dan sebak dengan penghargaan yang kita berikan.
“Kita harap apa yang kita berikan kepada Paksu ini dapat memberikan kegembiraan dan Pak Su sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik,” ujarnya.
Sebelum ini, rakaman video tular memaparkan warga emas berserban menunggang motosikal Yamaha RX-Z untuk menyertai program RX-Z Members 6.0 mendapat perhatian pengguna media sosial. – UTUSAN