BATU GAJAH: Mohd Shahrul Nizam Abd Razak, 30, tidak kisah berpanas, berpeluh apa lagi berdiri lama dengan memakai kostum pelbagai maskot bagi ‘menggembirakan’ pelanggan terutama kanak-kanak.
Malah secara tidak langsung kerja sampingannya sejak 2021 itu menambah pendapatannya.
Mohd. Shahrul berkata, niatnya memakai maskot Mikey, Miney, Bear, Donald Duck, Pooh dan Rilakkuma hanya untuk menggembirakan pelanggannya terutama kanak-kanak.
“Tipu jika saya kata tidak penat kerana perlu memakai kostum yang berat, panas selain perlu berdiri lama tetapi apabila melihat kanak-kanak bergembira saya gembira.
“Malah, jarang sekali mereka (kanak-kanak) akan mengelakkan diri malah berebut-rebut untuk merakam foto dan video bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Lembah Permai di sini semalam.
Menurut Shahrul, permintaan untuk menjadi maskot tinggi semasa awal persekolahan, majlis hari jadi dan hari keluarga.
“Biasanya pada awal sesi persekolahan dibuka, tidak menang tangan dibuatnya untuk memenuhi permintaan selain ada yang ingin menyewa kostum semata-mata.
“Selain itu, ada juga permintaan sempena pembukaan restoran atau perniagaan. Selagi ada demand terutama melibatkan kanak-kanak akan saya penuhi sebaiknya,” katanya.
Ujarnya, ia juga menjadi terapi kepada dirinya iaitu setiap pekerjaan yang dilakukan berdepan depan pelbagai cabaran dan halangan yang perlu dilalui. – UTUSAN