KANGAR: Lekar adalah peralatan tradisional Melayu yang digunakan untuk meletakkan periuk atau kuali panas pada suatu masa dahulu.
Pada masa ini, lekar turut dijadikan sebagai hasil kraftangan di samping digunakan untuk menjadi bekas meletak peralatan kecil atau bahan makanan seperti buah-buahan.
Dalam meneruskan penghasilan lekar, seorang warga emas yang menetap di Kampung Tok Kuning, Jalan Tebing Tinggi di sini masih cekal memasarkan peralatan tradisi itu buat orang ramai di gerai kecil berhadapan rumahnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Johari Mohd Noor, 75, atau lebih dikenali sebagai Pak Jo berkata, dia telah mewarisi penghasilan lekar itu daripada Allahyarham datuknya sejak lebih 30 tahun lalu.
Katanya, sejak dari kecil, dia belajar menghasilkan lekar atau pelapik periuk panas ini dengan menggunakan lidi daripada daun nipah dan telah diwarisi sehingga kini.
“Lekar dihasilkan menggunakan teknik anyaman lidi yang dilentur dan disusun berselang-seli antara satu sama bagi membentuk corak dikehendaki. Lidi itu juga perlu ditarik satu persatu bagi mengetatkan anyaman itu dan seterusnya membentuk lekar berkenaan.
“Saya kebiasaannya menggunakan lidi pokok nipah sawa dan nipah tembaga yang ditanam belakang rumah atas tanah seluas kira-kira setengah ekar,” katanya.
Dalam pada itu, bapa kepada 13 anak ini berkata, selain lekar, dia turut menghasilkan beberapa peralatan lain menggunakan daun pokok nipah antaranya seperti tudung saji, topi pesawah, penyapu lidi, atap nipah dan beberapa lagi.
Katanya, lekar bersaiz besar dihasilkannya itu dijual pada harga RM18 manakala bagi saiz kecil pula RM15.
“Saya biasanya menghasilkan lekar ini dengan dibantu isteri, Chek Idris, 70, dan ia mengambil masa selama kira-kira dua hari untuk disiapkan bergantung kepada permintaan serta saiz,” katanya.
Tambah Johari, dia juga menjual lekar itu di gerai kecil di hadapan rumahnya yang dibuka bermula pada pukul 10 pagi sehingga 4 petang setiap hari.
“Biarpun permintaan lekar ini tidak lagi seperti dulu, orang ramai masih mendapatkannya bagi dijadikan koleksi kraftangan dan sebagainya.
“Malah pelanggan yang pernah membeli dengan saya juga adalah dari seluruh Malaysia dan ada yang membeli peralatan ini untuk dibawa balik kepada rakan mereka di luar negara,” katanya. –UTUSAN