ALOR SETAR: Tanaman padi darat atau huma menjadi alternatif isi rumah untuk menampung masalah bekalan beras terutama sebagai persediaan menghadapi fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas berpanjangan tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman berkata, sehubungan itu pihaknya mencadangkan agar pesawah yang mempunyai tanah terbiar walaupun di hadapan rumah masing-masing mengusahakan tanaman padi itu.
“Tanaman padi huma juga lebih mudah dijaga dan tidak memerlukan pengairan atau air yang banyak seperti tanaman padi biasa. LZNK sudah tanam percubaan sebanyak dua hektar di Sik dan kita sedang tanam lagi empat hektar di kawasan Bendang Man, Sik.
“Kita yakin dengan keadaan musim mendatang yang dijangka kering, berpotensi untuk orang ramai memilih padi darat. Ia boleh ditanam walaupun di tapak sawah, pengalaman saya padi ini senang diurus apabila ditanam di tapak sawah terbiar,” katanya.
Beliau ditemui selepas proses tuaian pertama padi huma di pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon di sini, yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tambah Zakaria, tanaman padi varieti Bario di Seri Mentaloon itu hanya mengambil masa empat bulan untuk dituai selain proses penjagaannya lebih mudah berbanding padi sawah.
“Padi darat atau padi huma ini berpotensi untuk ditanam oleh semua orang kerana mudah diurus, maknanya siapa yang ada tanah kosong boleh tanam.
“Kaedah yg kita pakai jarak antara satu pokok ke satu pokok adalah satu kaki atau 12 inci, pengalaman kita boleh tanam lapan hingga 12 inci sebab pertumbuhannya tak sama dengan padi air, nak tanam lagi rapat lebih baik bagi mengelak rumput tumbuh dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata, selain rasa beras yang lebih enak berbanding beras biasa, padi huma juga lebih mahal iaitu dijual pada harga RM26 sekilogram (kg).
“Proses tuaian padi huma adalah antara tiga hingga lima bulan mengikut varieti dan sekilogram benih boleh menghasilkan 80kg padi. Setiap kg padi akan menghasilkan 60 peratus beras, rasanya sedap dan ada varieti yang mengeluarkan aroma wangi,” katanya. – UTUSAN