P.Pinang: Projek lebuhraya bertingkat dijalankan secara perkongsian awam-swasta

P.Pinang: Projek lebuhraya bertingkat dijalankan secara perkongsian awam-swasta

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Penganugerahan Sijil Program EmpowerNCER: Kemahiran dan Keusahawanan bagi tiga daerah di Seberang Perai di Butterworth Arena, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 semalam dijangka dilakukan secara perkongsian awam-swasta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun, butiran lanjut mengenai projek itu masih dalam perbincangan ketika ini.

“Cuma, sebelum bajet (pembentangan Belanjawan 2025), dalam syarat NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara), kita dimaklumkan mungkin anggaran kos sekarang (untuk projek lebuhraya bertingkat) sudah mencecah RM2 bilion berbanding apa yang kita sebut sebelum ini iaitu RM1.8 bilion.

“Sekarang, PLUS (Projek Lebuhraya Utara-Selatan), UKAS (Unit Kerjasama Awam-Swasta) serta agensi-agensi berkaitan sedang meneliti pelaksanaannya (projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua) dan itu menjadi hasrat kerajaan negeri (untuk melihat ia direalisasikan),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Penganugerahan Sijil Program EmpowerNCER: Kemahiran dan Keusahawanan bagi tiga daerah di Seberang Perai di Butterworth Arena di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, dalam ulasan pascabajetnya semalam, beliau memberi fokus kepada pelaksanaan projek yang diumumkan sebelum ini.

“Jadi, (projek) yang terbaharu itu ialah Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua. Jadi, saya harap tindakan selanjutnya ialah melihat kepada pelaksanaan projek-projek ini,” ujar beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN