KEMAMAN: Sebuah syarikat yang menguruskan perhotelan, OSC Hotelling (M) Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini atas pertuduhan memproses data peribadi pengguna tanpa perakuan.
Bagaimanapun, syarikat itu yang diwakili pengurusnya, Zulaikha Mohd. Arifin, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan dihadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai pengguna data di bawah Perintah Perlindungan Data Peribadi (Golongan Pengguna Data) 2013 telah memproses data peribadi tanpa suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi di bawah Seksyen 16(1)(a) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Kesalahan itu dilakukan pada 30 Mei kira-kira pukul 11 pagi di Kerteh Damansara Inn, Kerteh.
Syarikat itu didakwa Seksyen 16(4) Akta 709 dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Jabatan Perlindungan Peribadi Ahmad Faris Ab Jalil bersama Nor Izariah Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN