KUALA LUMPUR : Pelakon, Putri Balqis, mengakui berasa sedih dan terkilan kerana masih ramai beranggapan salah terhadap ibunya, Norashikin Mohd Aziz.
Menurut pelakon yang mesra disapa Balqis ini, dia tidak mampu untuk bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menuduh ibunya itu terjebak dengan bahan terlarang hanya kerana rupa dan fizikalnya.
“Di TikTok, aku terima lebih 100 komen. Semua 100 komen itu benda yang sama. Jangan cakap aku tak relaks, jangan cakap baru satu komen aku dah beria.
“Kalau ikutkan, komen begini dah beribu dah, bertahun-tahun dah. Mak aku tak ada media sosial. Tapi tak tahu, dia tergerak hati nak baca komen semalam dan nampak pula komen macam ini.
“Aku dan Faris dari semalam tak makan tak tidur, sebab takut mak aku bunuh diri tiba-tiba,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Selain itu, aktres berusia 17 tahun itu turut mendedahkan mengenai masalah kesihatan mental yang dialami oleh ibunya kepada pengikutnya di media sosial.
“Mak aku ada major depression, major anxiety, PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder), disahkan oleh lapan doktor pakar HUKM.
“Ini ubat depression dia. Kalau dia telan semua ini semalam, kau nak ganti balik mak aku? Sampai hentak kepala dia dekat dinding, sampai melompat-lompat macam orang gila,” ujarnya tegas.
Dalam pada itu, kata pelakon drama Rampas Cintaku lagi, dia tidak gentar untuk bertemu dengan pemfitnah tersebut kerana mendakwa ibunya tidak pernah ‘menyentuh’ bahan terlarang sebelum ini.
“Aku ada kerja. Kau ingat, aku boleh kerja dengan tengok mak aku begini? Kau tak faham perasaan bila tengok mak kau kena fitnah dan dihina.
“Kau boleh jumpa aku depan-depan. Boleh jumpa dengan pengurus aku, boleh pergi suruh mak aku buat ujian air kencing. Mak aku dah berapa kali ulang alik balai polis buat ujian air kencing sebab komen-komen bodoh begini. Di Malaysia ramai orang yang bijak.
“Kau ingat doktor itu bodoh sangatkah? Mak aku ulang alik hospital, ambil darah, ambil air kencing. Ingat tak dapat kesan ke kalau kau ada dadah atau tak?” tegasnya.
Sementara itu, Balqis turut berdoa agar ibunya dilimpahkan rezeki yang luas dan jika ajal sampai, dia mahu ibunya meninggal dunia dalam keadaan yang tenang.