Operasi rokok: Pemantauan di kawasan 'hotspot' ditingkat

Operasi rokok: Pemantauan di kawasan ‘hotspot’ ditingkat

Norhayati memberikan tanda larangan merokok terbaharu kepada pemilik kedai ketika operasi di Kampung Baru. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemantauan akan ditingkatkan di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sekiranya masih wujud individu yang melanggar peraturan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli berkata, orang ramai boleh membuat aduan di talian atau menghubungi Bilik Gerakan Akta 852 Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P).

“Sejumlah 33 notis kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta 852 dikeluarkan dengan nilai kompaun  RM8,250 menerusi operasi harian dan berjadual.

“Sebanyak 18 notis membabitkan kedai makan, kompleks beli-belah (7 notis) dan perhentian awam (8 notis),” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 di Kampung Baru di sini, semalam.

Dr. Nurhayati berkata, dalam operasi bersepadu itu, pihaknya memeriksa 150 premis di sekitar kawasan berkenaan.

“Kami sempat mengedarkan tanda larangan merokok yang baru ditambah dengan logo rokok elektronik dan kod QR yang boleh diimbas bagi mengetahui lebih lanjut berkait khidmat nasihat kesihatan di 58 premis.

“Pemilik premis juga tidak dibenarkan meletakkan bekas abu rokok bagi elak pelanggan merokok. Jika pelanggan merokok, pemilik premis diminta untuk menasihatkan dengan berhemah agar tidak merokok di kawasan larangan. 

“Sekiranya pelanggan masih berdegil, aduan boleh dibuat kepada KKM atau bilik gerakan. Maklumat pengadu adalah rahsia,” jelasnya.

Tambahnya, kawasan yang sering diterima aduan berkenaan akan dibuat rondaan dengan lebih kerap oleh pegawai.

Katanya, Kementerian Kesihatan menerima sambutan baik daripada pemilik premis dan semua patuh dengan arahan untuk menggunakan tanda larangan baharu.

Selain itu, Operasi Mega Bersepadu di Kuala Lumpur adalah pelaksanaan kelapan sejak 1 Oktober yang dilakukan di Melaka, Sabah, Selangor, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan, premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi kawasan terbaharu larangan merokok selepas diwartakan Tempat Dilarang Merokok di bawah Akta 852 pada 4 Oktober lalu.

Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober lalu. 

Sebanyak 28 tempat larangan merokok secara keseluruhannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN