Op Tunjang: 37 individu dijangka didakwa November ini

Op Tunjang: 37 individu dijangka didakwa November ini

KUALA LUMPUR 18 OKTOBER 2024 - Azam Baki berucap pada Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Menara PERKESO di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 37 individu yang ditahan dalam Op Tunjang melibatkan kes sindiket tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka didakwa di mahkamah bulan depan. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, dianggarkan sekurang-kurangnya 37 kertas siasatan telah dibuka susulan tangkapan itu. 

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kertas siasatan kes tersebut selesai pada bulan depan. 

“Setiap individu yang ditahan, ada kertas siasatan dibuka dengan setiap daripadanya ada saksi tersendiri. Malah, setiap kertas siasatan, ada seorang pegawai penyiasat ditugaskan untuk melengkapkan siasatan. 

“Justeru, kami menjangkakan kertas siasatan kes ini  selesai pada November supaya suspek terbabit boleh didakwa di mahkamah,” katanya selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Antara SPRM bersama Perkeso hari ini. 

Azam berkata, meskipun tiada tangkapan susulan dibuat dalam operasi berkenaan, pihaknya terus bekerjasama dengan Perkeso untuk mengesan jika ada aktiviti seumpama itu dijalankan. 

Katanya, sebelum ini, SPRM menjalankan tujuh operasi utama bersama Perkeso di enam negeri. 

“Berdasarkan operasi itu, kami mendapati sindiket ini tidak serik-serik melakukan kesalahan dan mungkin juga mereka akan mengubah modus operandi lain. 

 “Justeru itu, pengesanan kepada aktiviti ini boleh diambil menerusi sistem dimiliki Perkeso yang boleh ‘trigger’ apabila ada kes diterima pihaknya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tujuh rombakan dan penambahbaikan dilaksanakan pihaknya sejak 2002 berkaitan pengurusan hilang upaya termasuk fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS). 

Beliau berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan SPRM bagi meningkatkan tatakelola berlandaskan beberapa kes yang dikenal pasti menerusi penahanan 37 individu terbabit penipuan tuntutan Perkeso. 

“Dari semasa ke semasa, kami akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada di agensi ini bagi menutup ruang kepada salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Beliau berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan pihak yang menyalah guna dan mengambil peluang terhadap sistem sedia ada untuk membuat tuntutan palsu.

 “Kami akan pastikan tuntutan palsu yang dibuat akan melalui proses penyiasatan termasuk membabitkan pihak SPRM yang tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang tetapi juga beberapa negeri lain,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan,  SPRM menahan 37 individu menerusi Op Tunjang terdiri daripada 19 pemohon, sembilan ejen, tiga ‘runner’ serta enam doktor perubatan yang dipercayai terbabit dengan sindiket tuntutan palsu kepada Perkeso.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya