NUTP harap diberi peruntukan tambahan untuk program latihan guru

NUTP harap diberi peruntukan tambahan untuk program latihan guru

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diharapkan dapat memberikan peruntukan tambahan untuk program latihan guru bagi persiapan menghadapi perubahan kurikulum pada 2027 serta kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, peruntukan tambahan untuk program latihan guru ini bagi memastikan persiapan sewajarnya untuk menghadapi perubahan kurikulum pendidikan yang dirancang pada 2027 serta kemajuan teknologi AI.

Menurutnya, keperluan ini menjadi semakin mendesak bagi memastikan pendidik dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan terkini untuk menyediakan pelajar menghadapi cabaran masa depan.

“Penggunaan teknologi AI dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti pendidikan tetapi juga mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran masa depan yang lebih kompleks dan berdaya saing.

“Dengan peruntukan mencukupi, KPM dapat melaksanakan program latihan lebih berkesan termasuk kursus dan bengkel yang dapat membantu guru menterjemahkan teknologi dalam pengajaran mereka dan mempertingkatkan pengalaman pembelajaran pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Akhbar ini semalam melaporkan KPM diperuntukkan RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM58.7 bilion berbanding tahun lalu dalam usaha menjadikan ruang pembelajaran selesa dan selamat kepada semua pelajar.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan memberikan peruntukan tertinggi dalam sejarah itu adalah bagi memastikan setiap projek menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara berjalan tanpa gangguan.

Selain itu, Fouzi berkata, rungutan guru mengenai kekurangan peruntukan untuk aktiviti sukan dan kokurikulum tidak diberikan dalam belanjawan kali ini dan berharap KPM dapat menyelaraskan semula peruntukan bagi keperluan aktiviti tersebut.

“Hasrat KPM untuk meningkatkan elaun bagi pendidikan Tingkatan 6 juga tidak tercapai. NUTP berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat mempertimbangkan cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini. 

“Dalam jangka panjang, NUTP menggesa KPM merangka pelan strategik yang komprehensif untuk menangani isu sekolah padat dengan pembinaan sekolah baharu atau bangunan tambahan. 

“Bahagian Pembangunan Kementerian juga diharapkan dapat memperhatikan keperluan penyelenggaraan bilik guru dan penyaman udara di sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya