PETALING JAYA: Selepas kisah seramnya menjadi sorotan sejak beberapa hari lalu, pelakon, Zara Zya menafikan dirinya mahu mengejar populariti.
Zara dalam sebuah hantaran menerusi platform Threads berkata, dia tidak sangka perkongsiannya dalam sesi podcast bersama usahawan kosmetik, Alha Alfa itu menjadi tular dan meraih perhatian ramai.
“Niat saya hanya berkongsi cerita, memandangkan nama podcast pun Di Sebalik Misteri. Saya bukan mengejar populariti. Tak sangka pun akan viral sampai macam ni,” katanya.
Dalam pada perkongsian tersebut, Zara yang hanya mahu berkongsi pengalaman mistiknya itu tidak kisah sekiranya ada pihak yang tidak percaya dengan ceritanya.
“Terpulang pada mata yang melihat dan telinga yang mendengar,” jelasnya.
Sebelum ini, Zara menjelaskan bahawa suaranya tidak disunting ketika menyebut perkataan iblis sewaktu bercerita mengenai gangguan yang dialaminya.
Malah, pelakon wanita itu turut memaklumkan tentang kewujudan makhluk tersebut sewaktu sesi podcast berlangsung.
Zara juga pernah mendedahkan dirinya pernah mendapat gangguan mistik sehingga berperwatakan sepertu ular jadian. -UTUSAN