Nelayan dituduh bunuh warga Pakistan

Nelayan dituduh bunuh warga Pakistan

KIONG Chan Kyam (berbaju putih) dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang atas tuduhan membunuh seorang lelaki Pakistan, 21 Oktober lalu.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga Pakistan pada 21 Oktober lalu.

Tiada pengakuan direkodkan sebaliknya, tertuduh, Kiong Chan Kyam, 38, cuma mengakui faham akan pertuduhan berkenaan ketika ia dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dituduh membunuh Rashid Mahmood, 48, di sebuah kedai di Jalan Burma pada 21 Oktober lalu, kira-kira pukul 4 petang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dengan dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Syairah Aqilah juga memohon satu tarikh khusus untuk mendapatkan laporan bedah siasat serta serahan dokumen-dokumen berkaitan, sebelum mahkamah menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pada 22 Oktober lalu, media melaporkan, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang disyaki suspek utama dalam kes bunuh seorang lelaki warga Pakistan yang mati ditikam dalam kejadian di Pulau Tikus.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di jalan Tanjong Tokong, kira-kira pukul 12.55 tengah hari.

Terdahulu, seorang lelaki warga Pakistan maut selepas ditikam dipercayai dengan menggunakan pemutar skru dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang di Pulau Tikus, sehari sebelum itu.

Mangsa yang berusia 48 tahun dikatakan telah dibawa oleh rakannya ke sebuah klinik swasta di Jalan Datuk Keramat untuk mendapatkan rawatan, namun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya