SEREMBAN: Pemain industri hotel di Negeri Sembilan mengambil pendekatan menggunakan budi bicara dalam mengendalikan isu berkaitan penyelarasan semula masa daftar masuk dan keluar pelanggan.
Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, setakat ini pengusaha hotel di negeri ini tidak menerima rungutan daripada tetamu dan pelanggan mereka berhubung amalan daftar masuk pukul 3 petang dan keluar pukul 12 tengah hari.
Namun, kata beliau, ada ketikanya pengurusan hotel menerima permintaan daripada pelanggan untuk mendaftar masuk lebih awal jika terdapat bilik yang sudah tersedia.
“Kami guna budi bicara, kami juga sudah tentu tidak mahu kehilangan pelanggan dan tetamu. Setakat ini memang di Negeri Sembilan menetapkan daftar masuk pada pukul 3 petang.
“Namun jika tetamu datang lebih awal dan mereka ini yang mungkin ada warga emas, bersama keluarga atau mana-mana penganjur acara yang datang dari jauh dan meminta untuk masuk awal, tidak ada masalah asalkan memang sudah ada bilik yang kosong pada waktu itu.
“Begitu juga semasa untuk mendaftar keluar, walaupun ditetapkan pada pukul 12 tengah hari, masih ada juga tetamu meminta untuk daftar keluar sedikit lewat iaitu sekitar pukul 1 petang dengan beberapa alasan seperti selepas makan tengah hari di bufet yang disediakan dan selepas solat Jumaat. Kami boleh gunakan budi bicara, tiada masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Menurut King Sing, penginapan 23 jam sehari adalah perkara biasa di luar negara dan ia tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan malah pengguna juga berasa wang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.
Sementara itu, Haziz berkata, tiada hotel di Negeri Sembilan yang melaksanakan daftar masuk dan keluar hotel yang ditetapkan pada pukul 4 petang dan daftar keluar pada pukul 11 pagi.
“Saya musykil juga hotel mana yang dimaksudkan seperti yang dilaporkan sebelum ini, kami di MAH tidak tahu, mungkin hotel ini tidak menjadi ahli dan mungkin juga tidak berdaftar,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, hotel di negeri ini masih berdepan isu kekurangan tenaga kerja khususnya di bahagian pengemasan. – UTUSAN