KUALA LUMPUR: “Rumah tangga saya baru setahun jagung, tidak layak beri tips atau nasihat yang panjang lebar.”
Demikian kata selebriti popular, Neelofa ketika diminta berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangga bersama suaminya yang juga merupakan seorang pendakwah, Haris Ismail.
Menurut Neelofa, setiap rumah tangga mempunyai perjalanan yang berbeza. Namun, perkara itu akan menjadi mudah jika setiap pasangan mengikut panduan yang sudah ditentukan dalam agama.
“Rumah tangga ini mempunyai cabarannya. Mungkin orang luar nampak perkongsian saya dan suami manis dan bahagia.
“Tapi bukan senang untuk hidup bersama. Memang setiap rumah tangga ada ujian, dugaan hidup dan kekurangan pasangan masing-masing.
“Selagi seorang suami atau isteri mengikut dan taat terhadap perintah agama yang Allah sudah tentukan dengan semampunya atau sebaiknya, Insya-Allah, segalanya akan dipermudahkan,” katanya.
Neelofa berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi baju jenama Kit & Co by Mimpi Kita yang berlangsung di TRX, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Meskipun dia menyangka sudah lewat untuk mendalami ilmu berumah tangga selepas berkahwin, Neelofa bagaimanapun bersyukur dapat mempelajarinya bersama suami tercinta.
Malah, ibu kepada dua orang cahaya mata itu juga sempat menasihati golongan muda yang mahu berkahwin untuk mendalami ilmu perkahwinan terlebih dahulu supaya dapat melalui bahtera itu dengan mudah.
“Saya banyak belajar dengan Haris selepas berkahwin. Kalaulah ilmu-ilmu itu saya tahu sebelum kahwin, saya rasa lebih mudah untuk lalui di awal perkahwinan.
“Untuk adik-adik yang nak kahwin, tolong belajar ilmu perkahwinan. Ilmu itu sangat membantu. Alhamdulillah, saya dapat belajar ilmu itu selepas berkahwin walaupun tidak mudah,” jelasnya.