SHAH ALAM – “Nasib baik menang.”
Demikian kata, ahli politik dan penyampai radio, Khairy Jamaluddin yang berjaya meraih anugerah Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36), malam ini.
Seperti dijangka, Khairy atau lebih mesra disapa KJ meluahkan rasa bersyukur apabila kerjayanya sebagai penyampai radio nendapat pengiktirafan dalam industri hiburan tanah air.
“Nasib baik menang. Dalam hidup ini, kalau pintu rezeki ditutup, Allah akan buka pintu rezeki baharu. Alhamdulillah, buat yang terbaik, Allah akan bagi yang paling baik. Saya percaya pada perancangan Allah.
“Ini bukan dunia saya. Ini dunia saya yang lain. Tapi dalam setahun saya dah berjaya belajar macam-macam. Kalau ikutkan saya belum layak untuk menerima kejayaan ini,” katanya.
Sementara itu, KJ juga sempat mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerjanya, Fara Fauzana, Johan dan AG serta peminat yang bertungkus-lumus mengundi sehingga mendorong kemenangannya.
“Terima kasih kepada keluarga Hot FM iaitu Fara Fauzana, Johan dan AG. Saya tujukan kemenangan ini kepada mereka yang banyak mengajar saya dalam dunia ini.
“Saya juga nak berterima kasih kepada pengundi,” ujarnya.
Sekadar info, KJ yang memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio pada tahun lalu berjaya menewaskan empat pesaing iaitu DJ Sonic, Haiza, Sharifah Shahirah dan Tyzo. -UTUSAN