Nanas, kelapa, durian digabung bawah Lembaga Perindustrian Nanas

Nanas, kelapa, durian digabung bawah Lembaga Perindustrian Nanas

MOHAMAD Sabu ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan KPKM Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas kejayaan mengeksport durian segar ke China baru-baru ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat supaya komoditi itu diuruskan di bawah satu fungsi sebuah lembaga.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sudah tiba masanya sebuah lembaga yang menguruskan komoditi durian ditubuhkan.

“Saya berpendapat, komoditi durian dapat diuruskan dengan peluasan fungsi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan menggabungkan komoditi nanas, kelapa dan juga durian.

“Hal ini penting supaya hasrat kita untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan dapat dicapai melalui ketiga-tiga komoditi ini yang sememangnya mendapat permintaan yang begitu tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Katanya, pada 4 Oktober lalu, sebanyak 40 tan metrik durian segar Malaysia telah habis terjual dalam masa 24 jam di pasaran China.

Mohamad berkata, bagi nanas pula, Malaysia hanya mampu mengeksport 800 kontena setahun sedangkan permintaannya adalah 4,000 kontena setahun.

“Justeru kita akan berusaha untuk mencari peluang-peluang baharu yang dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi kebaikan negara dan rakyat di masa hadapan,” katanya.

Selain itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan (BDI) KPKM hendaklah bekerjasama rapat ke arah merealisasikan impian tersebut.

Malaysia telah mengeksport kali pertama durian segar ke China pada 24 Ogos lalu selepas dua bulan Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China dimeterai.

Kejayaan ini merupakan hasil usaha KPKM selama lapan tahun, bermula dari tahun 2016 dimana sebelum ini hanya durian sejuk beku boleh dieksport ke negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya