KUALA LUMPUR: Pendakwah selebriti, Haris Ismail meluahkan rasa kurang senang terhadap sesetengah individu yang mencari kebaikan dalam sesuatu perkara yang ditegah dalam Islam.
Menurut Haris yang mesra disapa sebagai PU Riz, meskipun tindakan itu nampak hebat dan berilmiah di mata sesetengah pihak, namun perkara tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan di sisi agama.
“Mahu cari sebab baik dalam benda yang haram, sembang hal-hal hidup tanpa ilmu. Mahu dibanggakan apa?
“Nampak macam elok, nampak macam hebat, tapi hebat-hebat langgar perintah Allah tak ke mana pun kita ini. Pedih lagi azab Tuhan,” katanya menerusi kapsyen sebuah hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian sama, suami kepada selebriti terkenal, Neelofa itu juga berkongsi petikan yang berbaur teguran kepada individu yang kerap memberikan alasan yang kurang munasabah berkenaan tindakan tersebut.
Kata Haris, seeloknya setiap individu berdoa agar setiap alasan yang diberikan selari dengan apa yang dituntut oleh Sang Pencipta.
“Kalau nak diikutkan alasan, berjuta alasan boleh diberi. Saya tak tutup aurat sebab saya tak sedia lagi. Saya tak solat sebab saya masih sihat.
“Doalah pada Allah agar buah fikiran kita ini tidak dungu dan apa pun alasan kita, paterilah ia dengan apa yang Allah inginkan dari kita,” jelasnya.
Sejak kebelakangan ini, Haris dilihat kerap berkongsi petikan dan buah pandangannya mengenai isu serta trend semasa menerusi platform media sosial sekali gus meraih perhatian ramai. -UTUSAN