Nak ucap tahniah dapat cucu tapi Sabari tidak respon - abang - Utusan Malaysia

Nak ucap tahniah dapat cucu tapi Sabari tidak respon – abang

Ahli keluarga kepada Sabari Baharom mengikuti perkembangan operasi pencarian jasad pesara Felcra yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Lubuk Batu, Jitra semalam. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Musykil seorang abang apabila panggilan terhadap adiknya, Sabari Baharom, 62, tidak berjawab serta mesej tidak dibalas akhirnya terlerai setelah polis mengesahkan dia dicampak ke dalam sungai.

Abang mangsa, Ismail, 69, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Sabari adalah pada malam kejadian ketika mahu mengucapkan tahniah atas kelahiran cucunya.

“Sabari tidak angkat dan selepas itu saya menghantar WhatsApp kepadanya untuk mengucapkan tahniah kerana mendapat cucu kedua.

“Dia tidak balas WhatsApp dan saya ingat dia sibuk, selepas itu dia hilang. Bila kereta dia ditemui rentung, kes disiasat sebagai perbuatan jenayah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi pencarian Sabari di Kampung Lubuk Batu, di sini hari ini.

Katanya, dia sebak mengenangkan perbuatan kejam suspek terhadap Sabari yang sanggup mencampakkan pesara Felcra itu ke dalam Sungai Padang Terap di Wang Tepus, di sini dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat.

“Saya hilang kata-kata apabila membayangkan tindakan suspek yang tidak berperikemanusiaan itu dan saya berharap jasad Sabari ditemui segera.

“Operasi pencarian nampak sukar kerana kes (hilang) sudah lama dan sungai ini panjang serta berarus deras. Apa pun kami di pihak keluarga akan buat solat hajat supaya usaha pencarian Sabari dipermudahkan,” tambahnya.

Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang berjaya ditahan polis pada Jumaat lalu.

Terdahulu, bapa kepada tiga cahaya mata itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.

Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari. Kereta terbabit kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik dekat sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya