KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiba di Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 8.35 pagi, bagi keputusan kes melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau tiba di mahkamah tanpa menggunakan kerusi roda seperti sebelum ini dengan memakai lounge suit berwarna biru sambil diiringi pihak polis dan laungan semangat daripada penyokongnya sebagai sokongan moral.
Difahamkan, anak beliau Nooryana Najwa dan Datuk Mohamad Nizar Najib turut hadir bagi memberi sokongan dan mendapatkan keputusan berkaitan kes hari ini.
Untuk makluman, Mahkamah Tinggi hari ini akan memutuskan sama ada Najib dibebaskan atau diperintah membela diri atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dijadualkan membaca keputusan itu pada 9 pagi.
Pada 30 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama enam tahun, bermula 28 Ogos 2019.
Antara saksi utama yang dipanggil semasa perbicaraan termasuk bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, dan bekas Peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan serta Pegawai Penyiasat SPRM, Supt. Kanan Nur Aida Ariffin. – UTUSAN
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar dan Ahmad Akram Gharib manakala Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.-UTUSAN