Na'imah gagal tangguh bayaran tunggakan cukai RM313.8j

Na’imah gagal tangguh bayaran tunggakan cukai RM313.8j

NAÍMAH ABDUL KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Khalid gagal mendapatkan perintah penangguhan sementara pembayaran tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM313.8 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dr. Shahnaz Sulaiman dalam keputusannya pada September lalu menyatakan, berdasarkan Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau memfailkan rayuan.

Ujar hakim berkenaan, Mahkamah Persekutuan juga telah memutuskan bahawa mengikut akta berkenaan, sebarang tunggakan cukai hendaklah `bayar dulu, bincang kemudian’.

Tambahnya, sekiranya rayuan Na’imah berjaya, wang yang telah dibayar boleh dipulangkan semula oleh LHDN.

“Mahkamah mengambil maklum bahawa jumlah yang terlibat adalah besar. Bagi orang biasa, nilai RM30,000 juga namun masih juga perlu membayarnya. Undang-undang perlu dilaksanakan secara sama rata terhadap semua pihak.

“Tidak kira sama ada ia membabitkan RM30,000 atau RM30 juta, undang-undang perlu dilaksana dengan adil dan sama rata. Ia adalah peruntukan yang sama tanpa mengambil kira jumlahnya, tidak kira kecil atau besar,” kata hakim berkenaan dalam penghakiman penuhnya yang diperoleh media hari ini.

Pada 26 Ogos lalu, Na’imah membuat permohonan untuk menangguhkan sementara pembayaran cukai pendapatan itu dalam permohonan semakan kehakimannya.

Menurut afidavit yang difailkan, Na’imah menyatakan LHDN melalui notis bertarikh 18 Januari lalu telah mempersoalkan mengenai kenaikan sahamnya dalam syarikat Ilham Baru Sdn. Bhd. serta mendakwa isteri Tun Daim Zainuddin itu telah menggunakan tiga aset di luar negara yang dibeli menggunakan menggunakan pendapatan tidak dilaporkan untuk membayar pinjaman antara Ilham Baru, Ilham Tower Sdn Bhd, dan Welberton Private Equity Corp.

Tiga aset tersebut ialah Hotel Nantasket Beach Resort dan sebuah pangsapuri bersebelahan hotel berkenaan di Massachusetts; bangunan pejabat Chauncy Place dan Hotel Buckminster and Annex di Boston yang dianggarkan bernilai lebih RM700.6 juta.

Dakwa Na’imah, responden telah mengambil nilai pasaran keseluruhan bagi tiga unit aset berkenaan iaitu lebih RM700 juta sebagai pendapatan yang tidak dilaporkan pada tahun 2018, namun pada 13 Ogos lepas, responden mengemukakan Notis Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13.

Selain itu, aset-aset luar negara itu telah dibeli oleh suaminya pada tahun sekitar 1990 dan beliau tidak mempunyai akses kepada dokumen-dokumen berkaitan kerana aset-aset asing itu diperoleh lebih 30 tahun lepas.

“Tambahan pula, responden (LHDN) telah gagal mengambil kira hakikat bahawa cukai pemohon (Na’imah) telah difailkan bersama dengan suami pemohon di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP). Responden tidak boleh melakukan perkara yang sama terhadap Na’imah kerana akan menyebabkan cukai berganda. Hal ini lebih ketara apabila taksiran yang telah dibayar sepenuhnya.

“Responden telah bertindak melebihi bidang kuasanya dengan sewenang-wenangnya menganggap bahawa aset-aset asing tersebut diperoleh pada tahun 2018 dan secara sewenang-wenangnya menganggap nilai pasaran aset tersebut sebagai pendapatan Pemohon yang tidak dilaporkan bagi tahun 2018,”kata Na’imah dalam afidavit tersebut.

Oleh itu, wanita itu mendakwa tindakan LHDN itu tidak mengikut undang-undang, salah guna proses, melangkaui bidang kuasa dan satu salah guna kuasa.

Sehubungan itu, Na’imah memohon untuk membatalkan keputusan responden berhubung Notis Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya