Rasanya, minggu ini akan menyaksikan program Muzikal Lawak Superstar 2024 (MLS2024) sudah memasuki minggu keenam sejak mula bersiaran pada 22 September lalu.
Cik Bunga pula sebenarnya merupakan antara peminat program-program komedi dan tentunya program seperti MLS2024 menjadi pilihan untuk tontonan di hujung minggu.
Bagaimanapun, terpaksa Cik Bunga tuliskan di sini kerana secara peribadi selain mengambil kira beberapa pandangan penonton setia lain, entah kenapa, MLS2024 seakan sudah hilang hangat dan taringnya.
Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, entah kenapa, setiap kumpulan yang bersaing kali ini tidak menunjukkan kualiti dan semangat untuk benar-benar meraih kemenangan. Masing-masing gambarannya seakan sekadar menyertai program itu sebab mahu sertai dan bukan untuk menang.
Faham tak maksud Cik Bunga? Dalam erti kata lain, masing-masing masuk MLS2024 macam sekadar nak letak dalam profil kerjaya seni sahaja. Nak tunjuk ‘oh aku pernah sertai program sekian sekian’.
Ya, Cik Bunga tahu, bukan senang nak menghiburkan penonton, nak pastikan mereka ketawa dengan jenaka yang disampaikan. Justeru, ia menunjukkan bahawa, bukan semua orang mampu menjadi komedian. Sebab itu jangan pandang enteng pada bakat seorang pelawak ini.
Adalah antara kumpulan yang Cik Bunga tengok berpotensi untuk menang sebab mampu kekal konsisten, tetapi yang selebihnya, maaf cakap, awak semua sedang buat apa ini?
Sesekali nampak macam pementasan taraf budak sekolah pun iya. Ini program televisyen tahu. Ada habuan hadiah besar pula menanti di pentas final. Kalau masih bermain-main,pakat-pakat syok sendiri, tak payah buatlah program MLS ini. Orang jadi menyampah nanti.