Mustapha sedia pertimbang bertanding PRN Sabah - Utusan Malaysia

Mustapha sedia pertimbang bertanding PRN Sabah

MUSTAPHA Sakmud (tengah) bersama kakitangan dan peserta penganjur Pameran Teknologi, Pendidikan dan Kerjaya (TEC) 2024 anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menyatakan ramai yang meminta beliau bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dan sedang memikirkannya.

Menurutnya, beliau sedang menilai perkara tersebut memandangkan dirinya kini turut peranan sebagai Ahli Parlimen Sepanggar serta memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

“Sedang dipertimbangkan. Tapi ramai yang minta saya supaya bertanding. Kena seimbangkan dan saya perlu fikirkan,” katanya kepada semasa hadir merasmikan Pameran Teknologi, Pendidikan dan Kerjaya (TEC) 2024 anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Semasa PRN Sabah tahun 2020, Mustapha bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, namun kawasan itu dimenangi oleh Mohd. Arsad Bistari yang ketika itu mewakili UMNO. Beliau bagaimanapun menang Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2022 di Parlimen Sepanggar.

Mustapha yang diangkat sebagai ketua PKR Sabah sejak Mei lalu berkata, partinya kini sedang memantapkan jentera dan akar umbi untuk menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung dalam tempoh setahun akan datang.

Ditanya mengenai formula kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah, beliau berkata, situasi politik di Semenanjung Malaysia dan Sabah perlu dibezakan.

“Politik di Semenanjung memang kita nampak keserasian PH dan BN itu semakin baik. Tetapi apabila bercakap tentang konteks Sabah, kita tak boleh nafikan parti-parti tempatan di Sabah.

“Di sabah ini kalau mahu kerjasama, kita kena santuni parti lokal. Pengundi di Sabah mahu hak mereka dapat dipertahankan, dan mereka nampak lokal parti antara wadah untuk mereka menyampaikan hasrat tersebut.

“Jadi keseimbangan perlu berlaku, gabungan antara parti nasional dan parti tempatan perlu diterokai untuk peringkat negeri Sabah,” katanya.

Pada minggu lalu dilaporkan, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerjasama antara parti tempatan di bawah GRS dan parti nasional masih diperlukan untuk memastikan kestabilan politik negeri itu.

Jelasnya lagi, kerjasama antara GRS dan PH yang membentuk kerajaan negeri kini diperlukan dalam mendepani PRN Sabah akan datang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya