KUALA TERENGGANU: Kementerian Pengangkutan (MOT) yakin kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pantai Timur tidak akan terjejas pada musim tengkujuh, bermula bulan depan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, MOT dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) mempunyai perancangan rapi untuk memastikan kelancaran projek tersebut termasuk faktor cuaca, seterusnya dapat disiapkan mengikut jadual.
“Semua dah ambil kira, saya yakin mereka (MRL) dah membuat perancangan dengan rapi, mereka tahu cuaca di Pantai Timur, sebab mereka pun dah ada pengalaman beberapa tahun lepas.
“Saya yakin mereka boleh membuat kerja mereka mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis tandatangan dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dan MRL di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Muhtar Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Anthony Loke memberitahu, kemajuan keseluruhan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang merangkumi empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor sepanjang 665 kilometer telah mencapai 72.93 peratus, setakat September lalu.
Menurutnya, tahap kemajuan yang memberangsangkan ini selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026.
Katanya, jajaran rel antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.
“MOT memantau rapat pelaksanaan projek ECRL yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang,” katanya.
Beliau menambah, pembinaan projek tersebut di negeri Terengganu pula telah mencapai kemajuan sehingga 87.40 peratus dalam tempoh yang sama.
Katanya, ia sekali gus menjadikan negeri Terengganu mencatat peratusan tertinggi dan mendahului empat negeri di bawah projek mega ini.
“Prestasi ini memaparkan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek ECRL yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta menyokong kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN