SERAMAI 180 orang murid dan 30 orang guru serta kaki tangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kerambit bersama penduduk menjayakan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 yang diadakan di lapangan pekan Kerambit, Lipis baru-baru ini.
Guru Besar SK Kerambit, Nazabadi Mohamad berkata, tujuan program HSN untuk memberi kesedaran kepada murid sekolah mengenai kepentingan bersukan untuk menjaga kesihatan diri,” katanya kepada Utusan Pelajar di SK Kerambit, Lipis.
Menurut Nazabadi, secara asasnya program HSN sejajar dengan aspirasi Kementerian Belia dan Sukan serta kolaborasi dan galakan daripada Kementerian Pendidikan supaya murid aktif bersukan, bersenam dan beriadah.
“Bagi pihak sekolah, kita mahu menyemai pembudayaan dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat setempat bukan sahaja guru dan murid malahan turut melibatkan ibu bapa dan penjaga.
“Hal ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bersukan bagi mewujudkan masyarakat yang cergas dan aktif sesuai dengan amalan gaya hidup sihat.,” katanya.
Dalam pada itu, Guru Penyelaras, Rohaiza Abdul Rahman berkata, program tersebut dapat memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti.
Katanya aktiviti dimulakan dengan senamrobik, funwalk 1,000 langkah, dan sukaneka yang turut mendapat penglibatan yang menyeronokkan sekali gus memeriahkan HSN peringkat sekolah tahun ini. – UTUSAN