BALING: Seorang murid darjah satu maut selepas motosikal dinaiki bersama abangnya dan seorang lagi mangsa terlibat kemalangan dengan sebuah van di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.35 petang itu, mangsa, Muhammad Darimi Mohd. Naim, 7, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Sementara abang mangsa, Muhammad Daniyal dan rakannya, Muhamad Adam Daniel Mohd. Azam yang masing-masing berusia 10 tahun mengalami kecederaan.
Ketiga-tiga mangsa bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu, di sini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki tiga kanak-kanak itu datang dari arah Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.
“Sebuah van jenis Nissan pula datang dari arah Kampung Landai, Sik, menghala ke Kampung Bandar. Sebaik tiba di tempat kejadian, van dinaiki tiga individu yang bergerak lurus melanggar motosikal dinaiki mangsa yang tiba-tiba keluar dari simpang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemuda berusia 26 tahun yang memandu van bersama dua rakan dalam perjalanan untuk berniaga di Pasar Malam Kampung Bandar.
Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan penunggang motosikal melambung dan terjatuh ke dalam longkang di sebelah kanan jalan.
“Dua pembonceng pula tersepit di tayar hadapan dan belakang van. Seorang mangsa berusia tujuh tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” ujarnya.
Beliau berkata, Muhammad Daniyal mengalami kecederaan di bahagian leher dan luka pada badan, manakala rakannya, Muhamad Adam pula patah kaki sebelah kanan dan luka pada badan.
Tambahnya, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut, manakala mayat seorang lagi mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang cuai dengan keluar dari simpang sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan van tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN