Murid belajar bina satelit

Murid belajar bina satelit

CUBESAT yang dibina pelajar dipasang pada dron sebagai ujian terhadap fungsinya untuk mendapatkan data seperti tekanan, ketinggian dan suhu. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemahiran memasang dan membina mungkin perkara biasa, namun memahiri serta memahami pembinaan satelit dan sistemnya bukanlah sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun, hal itu menjadi aktiviti yang menyeronokkan bagi lebih 24,000 murid tahap satu dan dua sekolah rendah di sekitar Banting apabila berpeluang mereka dan menerbangkan satelit masing-masing.

Menerusi Program Jurutera Angkasa Muda oleh Agensi Angkasa Malaysia (MySA), peserta dapat memahami tentang satelit dan bagaimana ia berfungsi untuk merekod dan menghantar data dari angkasa ke hujung jari mereka.

Pengalaman baharu itu membolehkan mereka memahami kepentingan satelit dan cara teknologi tersebut digunakan untuk membantu kehidupan seharian seperti penentuan suhu, kelajuan udara dan sebagainya dalam tempoh yang singkat.

Para peserta diberi peluang mempelajari tugas sebagai jurutera angkasa dalam membangunkan sebuah satelit yang merangkumi proses memahami keperluan, penyediaan spesifikasi, pembangunan subsistem, integrasi sistem dan akhir sekali pengujiannya.

Kesemua elemen dan konsep itu selaras dengan perkara yang dipelajari dalam mata pelajaran, Sains, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan juga Matematik.

Dalam program tersebut, para pelajar membina satelit mini sendiri yang dinamakan sebagai CubeSat dan melaksanakan demonstrasi fungsinya untuk mendapatkan data seperti tekanan, ketinggian dan suhu.
Lebih menarik, peserta berentap mengikut kumpulan masing-masing untuk menghasilkan satelit terbaik antara mereka yang dinilai menerusi kecekapan fungsi satelit, ketahanan, kreativiti dalam reka bentuk CubeSat, semangat kerja berpasukan dan sebagainya.

Bagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Banting, Muhammad Aisar Mukmid, 12, aktiviti itu merupakan pengalaman baharunya apabila berpeluang membina satelit sendiri dan menyaksikan cara ia berfungsi seperti mana dilihat di dalam buku, internet dan televisyen.

“Dapat bina satelit dan menentukan pemasangan sistem elektronik, ia amat mengujakan. Cikgu di sekolah beri saya peluang sertai program itu dan daripada situ didedahkan dengan ilmu angkasa, teknologi kejuruteraannya. Saya juga lihat di laman sesawang dan Youtube untuk tengok maklumat serta video berkaitan. Satelit memang canggih sebab ada sensor,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar baru-baru ini.

Bagi murid SK Methodist Telok Datok, Dishen Balakrishanan, 12, aktiviti pembinaan CubeSat memberi peluang kepadanya untuk menggunakan segala kemahiran yang dimiliki termasuk pengetahuan penggunaan kecerdasan buatan (AI) seperti platform ChatGPT untuk memahami teknologi satelit.

“Saya belajar tentang satelit dekat ChatGPT selain mengambil nota tentang angkasa dan satelit. Kemudian saya layari internet untuk lihat cara satelit dibina dan berfungsi. Memang nampak macam susah, tetapi saya rasa boleh buat saya buat. Banyak yang ilmu yang dapat diaplikasikan seperti Sains, Matematik, Geografik dan juga Fizik. Ya saya tahu tentang ilmu fizik dekat internet,” tutur anak bongsu daripada dua beradik itu.

Program Jurutera Angkasa Muda yang dianjurkan dengan kerjasama SpaceIn Sdn. Bhd. dan Universiti Sains Malaysia (USM) itu bermula 23 September lalu sempena Minggu Sains Negara 2024 dn Minggu Angkasa Sedunia 2024.

Para peserta diberi penerangan dahulu tentang satelit, struktur elektronik dan subsistem sebelum diberi garis panduan tentang pembinaan CubeSat.

Kemudian, mereka diberi peluang membina CubeSat yang diletakkan dalam sebuah kubik dan dihias mengikut kreativiti masing-masing. Apabila siap dibina, CubeSat mereka akan diuji terlebih dahulu sebelum diterbangkan.

Selepas melepasi ujian, CubeSat itu pula diterbangkan secara berkumpulan yang mengandungi empat satelit, dengan menggunakan dron disediakan oleh MYSA. Kesemua satelit diterbangkan pada ketinggian 20 meter selama 20 saat.

Ketika diterbangkan, berlaku transmisi data antara satelit dengan penerima (receiver) yang merekodkan maklumat seperti tekanan udara, ketinggian dan suhu. Satelit yang memberikan data tepat adalah salah satu kriteria untuk ditentukan sebagai pemenang.

Bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Morib, Tan Yan Kai, 12, aktiviti bina CubeSat amat menyeronokkan dapat memberi pemahaman lebih jelas terhadap subjek Sains, Matematik dan Seni.

Nur Airis Rayhanah Mohd. Fadzil, 11, dari SK Sungai Kelambu pula memberitahu, dia menggemari aktiviti itu kerana tertarik dengan cara satelit berfungsi dan terapung di angkasa, selain suka meneroka perkara baharu.

“Saya suka tengok bulan dan matahari, pernah juga terfikir siapa atau teknologi apa yang mampu mendekati matahari? Selain itu dron juga salah satu teknologi yang sangat mengujakan,” ujarnya.

Sementara itu, wakil SK Olak Lempit yang diumum sebagai juara Program Jurutera Angkasa Muda memberitahu, kumpulannya tidak menyangka akan memenangi pertandingan itu selepas CubeSat yang dinamakan sebagai Skolvengers mengalami masalah pada peringkat awal.

“Tak sangka menang, sebab masa awal-awal ada masalah teknikal, kawan-kawan pun macam sudah down. Tetapi, di saat akhir dengan bantuan fasilitator, masalah itu dapat diselesaikan.
“Paling penting aktiviti itu amat menyeronokkan, belajar perkara baharu. Perjuangan tiga hari yang amat berbaloi ditambah pula saya dengan kawan-kawan amat meminati bidang angkasa lepas termasuklah teknologi satelit,” kongsinya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya