Mungkin takdir mahu saya jadi pelakon – Marc Sadique - Utusan Malaysia

Mungkin takdir mahu saya jadi pelakon – Marc Sadique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANTANGAN menyuarakan isu kemanusiaan Palestin menyebabkan Instagram milik pempengaruh, Marc Sadique disekat. 

Perkara tersebut membuatkan tawaran kerjasama khususnya peragaan semakin berkurangan. 

Ketika menunaikan haji pada Mac lalu, pemilik nama sebenar Syed Umar Sadique Syed Ab Rahman, 27, berdoa agar Allah memudahkan urusannya demi mencari rezeki. Pulang sahaja ke tanah air, Marc dihubungi penerbit dan pengarah Haji Zeel yang mula melamarnya untuk melangkah ke industri hiburan tanah air. 

“Memang urusan saya bergelar pelakon ini dipermudah seolah-olah takdir mahu saya bergelar pelakon. Sudah semestinya saya perlu bijak bawa diri kerana industri ini penuh dengan cabaran. 

“Drama pertama lakonan saya adalah untuk TV3 iaitu Cinta Bukan Milik Kita bergandingan Khai Bahar dan Sharifah Rose. 

“Tidak susah mencari keserasian bersama pelakon kerana semasa penggambaran di Perlis, kami makan bersama dan cipta keserasian di luar set,” katanya kepada Pancaindera. 

Nampaknya tuah jejaka yang fasih bertutur tujuh bahasa ini semakin terbuka luas apabila mula ditawarkan pelakon tambahan untuk drama TikTok arahan Erma Fatima, Jangan Tinggal Abang Dik. 

“Itu lebih lucu kerana pada awal saya dihubungi kak Erma, saya fikirkan dia mahu menawarkan ‘shooting’ peragaan. Rupanya saya dipanggil untuk ‘shooting’ drama TikTok bersama pelakon hebat seperti Adira, Nabila Huda dan Datuk Adi Putra. 

“Lebih mencabar, saya hanya diberi skrip 15 minit sebelum penggambaran membuatkan saya sedikit gugup pada awalnya. Mujurlah pelakon hebat di sana sangat rendah hati membantu saya. 

“Mereka juga tidak mengadu tentang lakonan saya begitu juga pengarah yang tidak meminta saya ulang semula lakonan mana-mana adegan. Mungkin kerana watak saya kecil berbanding lain,” katanya. 

Bercerita tentang perkembangan terkini, Marc turut diberi peluang membintangi drama platform penstriman Viu bersama Fazura dan Aqasha bertajuk Andartu Kosmopolitan. 

“Saya seperti tidak percaya semua ini berlaku dalam tempoh kurang setahun.Sekarang, saya dalam tempoh berehat sebelum terbang ke Jogjakarta, Indonesia hujung bulan ini untuk sesi penggambaran. 

“Saya juga sudah dirisik untuk berlakon dalam dua drama. Namun, saya tidak mahu terlalu selesa. Saya mahu melangkah ke bidang ini secara serius. Oleh itu, saya akan mendaftarkan diri ke kelas lakonan. 

“Malah, saya sudah menghubungi Ellie Suriaty dan kenalan lain yang boleh mengajar saya untuk menambah baik mutu lakonan. Doakan saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya