Mungkin saya sedang marah tetapi datanglah pujuk - Nur Fazura

Mungkin saya sedang marah tetapi datanglah pujuk – Nur Fazura

fazura
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada usaha untuk memujuk menjadi antara punca Nur Fazura nekad untuk berpisah dengan suaminya, Fattah Amin lantaran menganggap lelaki tersebut tidak lagi menyayangi dirinya sebagai isteri.

Menurut Fazura, Fattah hanya menghantar mesej bertanya khabar menerusi Whatsapp namun tidak berusaha untuk bertemu dirinya bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Jelas Fazura yang berusia 41 tahun, aktor terbabit cuma menyatakan keinginan mahu bertemu dengannya selepas dia memfailkan permohonan perceraian.

“Dah tak sebumbung dua bulan. Dalam tempoh itu pun saya mengharapkan suami datang memujuk. Bukan setakat Whatsapp mesej ‘selamat pagi’, ‘selamat maaf’, ‘saya minta maaf’.

“Saya harapkan lebih daripada itu, datang ke rumah (jumpa) walaupun saya tengah marah. Sebagai isteri kadangkala kita mungkin marah, saya harap dia bersungguh pujuk, bukan mesej sahaja,” katanya.

Menurut pelakon drama Andartu Kosmopolitan ini lagi, dia berdoa agar Allah membuka hati Fattah supaya bersungguh-sungguh untuk berjumpanya bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

“Saya bercakap benar dan Allah mendengar. Allah tahu saya tak tipu. Saya bukan cakap nak selamatkan diri saya sahaja atau apa.

“Dia ada datang beberapa kali untuk jumpa anak, dia datang lagi sehari sebelum cerai untuk ambil pakaian dan ada dia datang pada hari saya failkan penceraian.

“Memang ada banyak kali juga saya cakap tak mahu jumpa. Tapi, dalam keadaan hati saya remuk, saya berdoa kepada Allah agar dia datang bersungguh-sungguh pujuk saya. Mungkin saya lembut hati waktu itu. Dalam dua bulan itu tak ada inisiatif yang benar-benar dia nak memujuk saya,” katanya.

Aktres yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari itu berkata demikian selepas sah bercerai talak satu dengan Fattah Amin, pukul 9.45 pagi tadi.

Selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pasangan terbabit sah bercerai apabila Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu pada pukul 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Terdahulu sebelum Fattah melafazkan cerai, ketika diluar mahkamah, pasangan itu dilihat berbincang antara satu sama lain.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah dimaklumkan Fattah belum bersedia untuk bercerai dengan Fazura.

Sebelum ini, status rumah tangga pasangan itu sering menjadi sorotan selepas timbul dakwaan keharmonian mereka diganggu orang ketiga.

Fazura dan Fattah telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN