BUTTERWORTH : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa segala ikhtiar akan dilakukan demi memastikan bekalan makanan mencukupi hingga hujung tahun susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal melanda beberapa negeri.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketika ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi pimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan semua jentera untuk bersiap sedia bagi mendepani sebarang kemungkinan.
“Sejauh mana (teruk) bencana itu, wallahualam. Tapi, mukadimah awalnya, agak teruk seperti mana yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini sehingga menyebabkan sidang Parlimen tertangguh selama setengah jam.
“Jadi, persediaan memang ada, Insya Allah. Mencukupi atau tidak, saya yakin dengan pengalaman yang lama, kita dapat sediakan (bekalan) yang cukup,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pendaratan ikan tuna di Dermaga Dalam, Butterworth di sini hari ini.
Untuk rekod, sebanyak 75 tan ikan tuna telah didaratkan di situ dan akan dieksport ke beberapa buah negara termasuk Jepun, Vietnam, Amerika Syarikat (AS), Singapura dan Thailand.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Singapura adalah contoh negara Asia yang terjamin dari sudut sekuriti makanan.
“Jaminan ini kita boleh ikhtiarlah, sebagai contoh Amerika Syarikat, negara yang paling maju pun, lihatlah apa yang berlaku ketika ditimpa bencana.
“Itu negara yang buat ramalan (cuaca) lebih awal. Cuma, mereka menggunakan teknologi yang ada. Maka, penduduk menerima amaran lebih awal dan berjaya menyelamatkan diri. Mereka sendiri pun tak boleh buat apa-apa dan negara turut mengalami kerugian berbilion ringgit. Maka, kita bersedia dan cuba mencari ikhtiar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan berlaku kenaikan harga bekalan makanan pada ketika fasa MTL nanti.
“Mungkin harga akan berlaku turun naik dan sebagainya. Namun, insya-Allah, bekalan makanan mencukupi,” kata beliau.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini menjangkakan angin monsun itu akan berlaku pada awal bulan depan berdasarkan faktor klimatologinya.
Ketika ini, Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 September lalu dan ia dijangka berterusan sehingga awal bulan depan.-UTUSAN