KEPALA BATAS : Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) mengemukakan 12 resolusi untuk pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menambah baik kualiti sistem pengajaran di sekolah ketika ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, resolusi berkenaan akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas ini.
“Kita melihat (resolusi) ini bukan sebagai bentuk tuntutan, sebaliknya, harapan warga pendidik khususnya termasuk dalam konteks untuk menambahkan lagi kualiti pengajaran sistem yang ada dalam sekolah sekarang ini.
“Ini termasuk juga beberapa skim pengkhidmatan yang boleh dilihat semula. Jadi, kita akan serahkan (resolusi ini) bagi kerajaan melihat tentang keperluan-keperluan yang mereka nyatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 di Bertam di sini, petang tadi. ini.
Antara kandungan resolusi itu termasuk mewujudkan jawatan guru media, membaik pulih kuarters-kuarters guru di Sabah dan Sarawak serta cadangan mewujudkan lapisan gred baharu untuk pengetua bagi membolehkan penolong kanan dijadikan pelapis.
Resolusi tersebut dihasilkan selepas perbincangan dan konsultasi bersama warga pendidik, malah, ia dijangka mampu memberikan impak besar dalam usaha meningkatkan kualiti pembelajaran, memperkukuhkan kebajikan guru serta memperkasa prasarana sekolah di negara ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, semua usul berkenaan akan diambil perhatian oleh pihak kerajaan.
“Apa yang paling besar ialah kita dapat mengadakan proses timbal balik dengan para pengetua kerana mereka adalah golongan pendidik, pengajar dan pemimpin di sekolah masing-masing yang tentunya ada keperluan-keperluan terkini.
“Ia meliputi sama ada keperluan untuk menambah baik prasarana dan sebagainya, yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
“Saya yakin Perdana Menteri akan memberikan perhatian kepada isu berkaitan terutamanya perkara-perkara asas termasuk dalam konteks ketersambungan di sekolah-sekolah yang diperlukan oleh mereka,” katanya.-UTUSAN