BANGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Pasukan Petugas Standard, Regulatori dan Keselamatan Nanoteknologi (SRSnano) bagi membangunkan amalan serta garis panduan dalam keselamatan teknologi tersebut.
SRSnano akan digerakkan secara serentak oleh empat kluster berintegrasi (IC) berasingan iaitu IC-Standard, IC-Regulatori, IC-Keselamatan dan IC-Pendidikan.
Ketua Setiausahanya, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim berkata, pasukan tersebut merupakan usaha MOSTI untuk memastikan industri nanoteknologi tempatan kekal mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, SRSnano bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras dan memantau program berkaitan dengan keselamatan bahan serta produk nano yang melibatkan pembangunan piawaian baharu, penerimaan piawaian antarabangsa dan menyemak peraturan sedia ada atau membangunkan peraturan serta garis panduan baharu.
Jelasnya, penubuhan tersebut juga selaras dengan aspirasi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021-2030.
“Untuk makluman, nanoteknologi sebenarnya berada di mana-mana, khususnya di dalam produk-produk kosmetik, makanan dan sebagainya. Jadi untuk membantu mereka (peniaga) memahami dan memberi pendedahan kepada standard-standard tertentu, kita tubuhkan SRSnano.
“Pasukan tersebut memainkan peranan sebagai pihak ketiga, di mana mereka akan memberi maklumat dan validasi mengenai apa yang dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Nanoteknologi Kebangsaan (nanoKEB) 2024, di sini.
Program yang berlangsung dari 7 Oktober hingga 11 Oktober di Hotel Bangi Resort itu merupakan platform peringkat kebangsaan dan antarabangsa untuk para penggiat nanoteknologi berkongsi pengetahuan terkini serta amalan terbaik.
Beberapa aktiviti turut diadakan, di antaranya adalah persidangan, seminar, mesyuarat, demonstrasi teknologi, pertandingan nanoteknologi dan pameran yang diatur secara kolaboratif dengan menggunakan kaedah yang interaktif.
NanoKEB 2024 turut mendapat kolaborasi di peringkat tempatan dan antarabangsa iaitu Asian Nano Forum Organization (ANF), NanoMalaysia Berhad (NMB), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), MIMOS Berhad, Universiti Putra Malaysia (UPM), Malaysian Nanotechnology Association (MNA), Malaysia Nanotechnology Industrial Group (MNIG) dan Progene Link Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut, Dato’ Ts. Dr. Aminuddin berkata, nanoKEB 2024 merupakan pemangkin kepada peningkatan kesedaran kepentingan nanoteknologi kepada pelajar universiti dan penyelidik teknologi tersebut di institusi pengajian tinggi negara, pihak swasta serta industri.
Katanya, program yang berlangsung selama lima hari itu berjaya mencatat sebanyak 1,000 orang peserta dari dalam dan luar negara.
“Di nanoKEB 2024, kita akan melakukan rujukan dan berbincang mengenai bagaimana ia boleh dikomersilkan serta dimasukkan ke dalam produk-produk harian seperti kosmetik mahupun makanan.
“Di sini, kita dapat belajar mengenai nanoteknologi dan meningkatkan kesedaran supaya tiada yang tertipu dengan produk-produk yang hanya menggunakan nama teknologi tersebut tetapi sebenarnya tidak ada,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, penglibatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu ditingkatkan bagi membantu pembangunan nanoteknologi.
“Kita nak mencapai negara maju pada 2030, jadi kita memerlukan lebih banyak lagi saintis berkaitan nanoteknologi. Ini kerana teknologi tersebut terus berkembang dari semasa ke semasa.
“IPTA mempunyai kekuatan tersendiri kerana mereka banyak melakukan kajian. Malah, jika kita mendapat dana daripada kerajaan untuk kajian maka dua pertiga dari wang tersebut disalurkan kepada IPTA.
“Sebab itu kita berharap IPTA sentiasa melakukan kajian dari semasa ke semasa, dengan itu kita akan dapat banyak penemuan berkaitan nanoteknologi. Dari situ ia akan membantu kita untuk terus kembangkan sektor tersebut,” katanya. – UTUSAN