MOSTI cadang pertandingan robot tempur ke peringkat ASEAN

MOSTI cadang pertandingan robot tempur ke peringkat ASEAN

MOHAMAD Yusof Apdal bergambar bersama juara daripada pasukan Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR) selepas merasmikan Pertandingan Robot Tempur Malaysia di ibu negara. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mencadangkan pertandingan robot tempur 2024 ini ke peringkat ASEAN bagi memupuk minat anak muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Difahamkan, penganjuran pertandingan tersebut merupakan inisiatif MOSTI khususnya dalam bidang robotik dan automasi untuk memastikan penyertaan dari anak muda dapat dipertingkatkan.

Selain itu, program tersebut merupakan kerjasama strategik antara Pusat Sains Negara (PSN), MOSTI serta Hibiscus Petroleum Berhad yang bersama-sama komited dalam memperkukuhkan agenda pembangunan bakat dan inovasi di Malaysia.

Kerjasama ini bukan sahaja memperlihatkan sokongan padu terhadap pengembangan teknologi tempatan tetapi juga mengukuhkan hubungan antara sektor awam dan swasta dalam mencapai matlamat bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai hub inovasi serantau.

Menurut Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal, pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 adalah kesinambungan daripada penganjuran yang diadakan sebanyak tujuh kali sejak tahun 2013.

“Setelah hampir 10 tahun pertandingan ini diadakan, saya yakin kita sudah ada “standard” yang boleh diuji di peringkat global dan elok dimulakan di peringkat ASEAN.

“Hasil program ini ialah untuk memperkasa bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, johan dimenangi oleh kumpulan TAR 02 dari Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TARUMT) manakala naib johan adalah PRCT dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Pagoh.

Sementara itu, penasihat kumpulan TAR 02, Fikri Haffizadin berkata, idea untuk pembinaan robot merupakan idea asal beliau.

“Saya mendapat idea daripada berdasarkan ciptaan robot saya dua tahun lepas dan saya kongsikan idea tersebut kepada kumpulan saya.

“Robot itu senang untuk dikawal dan kami bekerja dengan apa yang kita ada dan bina semula bersama-sama dalam masa yang singkat,” katanya.

Menurut Pengarah PSN, Fuad Rahman, objektif pertandingan adalah untuk memperkasakan pembangunan bakat teknikal robotik bagi membekalkan tenaga mahir bagi penggunaan industri.

Pada masa yang sama, ia bertujuan dalam merealisasikan Pelan Halatuju Robotik Kebangsaan 2021-2030 bagi menguatkan bidang teknologi robotik tempatan.

“Melalui pertandingan ini, lebih ramai belia akan lebih berinspirasi serta berinovasi dalam meneroka bidang teknologi robotik, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang berasaskan teknologi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN