PUTRAJAYA: Negara dijangka menerima kehadiran Monsun Timur Laut bermula November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang berkata, hujan lebat juga diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.
Beliau berkata, episod hujan lebat itu juga dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari 2025.
“Hujan berterusan mungkin berlaku di negeri pantai barat sekiranya berlaku luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.
“Kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata kecuali beberapa kawasan di utara dan timur Semenanjung serta timur Sabah yang dijangka menerima hujan sedikit atas paras purata pada fasa awal Monsun Timur Laut (MTL),” katanya ketika berucap pada Forum Iklim Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan’ di sini, hari ini.
Katanya, pada penghujung MTL iaitu dari Februari hingga Mei, beberapa kawasan di utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta Kelantan dan Terengganu di Pantai Timur, dijangka mengalami cuaca kering dan kurang hujan.
Ambun berkata, masalah jerebu setempat dan rentas sempadan serta gelombang haba juga diramal berlaku sepanjang tempoh itu.
“Untuk menangani masalah jerebu, METMalaysia mengambil inisiatif menghasilkan model sebaran aerosol dan agen pencemar atmosfera bagi menyokong operasi harian jabatan, terutama ketika musim jerebu dan kering,” katanya.
Jelasnya lagi, di bawah Projek Menaik Taraf Stesen Pencerapan Cuaca Permukaan, katanya, sebanyak 100 stesen pencerapan cuaca konvensional akan dinaik taraf kepada Stesen Meteorologi Auksillari Automatik berteknologi tinggi.
“Melalui pelaksanaan projek ini, kita dapat mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada dan meningkatkan perkhidmatan pemantauan cuaca berterusan, ramalan cuaca semasa dan penyampaian amaran cuaca buruk kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN