PONTIAN: Badan Kebajikan Guru-Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Johor meminta kerajaan negeri menaikkan elaun daripada RM500 ke RM1,000 sebulan.
Pengerusinya, Azmi Fathul Ariffin berkata, ketika ini seramai 1,500 guru KAFA di negeri ini menerima elaun bulanan sebanyak RM512.00, manakala RM1,000 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurutnya, elaun yang diterima sekarang sebanyak RM1,512 sebulan, sekadar ‘cukup makan’ menyebabkan guru-guru KAFA terpaksa melakukan dua pekerjaan bagi menambah pendapatan.
“Dengan kos sara hidup yang meningkat, kami juga mempunyai tanggungan keluarga dan anak-anak termasuk mereka yang masih bersekolah dan belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Diharap kerajaan negeri dan Jakim dapat menambah elaun kami bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi setiap bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Badan Kebajikan Guru-Guru KAFA Pontian di Sekolah Agama Lebai Mohd. Ya’kob, Ayer Baloi, dekat sini semalam.
Azmi berkata, dengan pengumuman tentang gaji minimum RM1,700 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025, pihaknya juga berharap Jakim menambah elaun bulanan menjadi RM2,000 sebulan.
Katanya, kelas KAFA yang diwujudkan pada tahun 1990 telah menjadi antara elemen penting bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran (P&P) pendidikan agama Islam di negara ini.
“Di Johor, kami turut bertugas di Sekolah Agama sepertimana guru-guru tetap supaya P & P kepada murid-murid sekolah dapat berjalan dengan lancar,” katanya sambil meminta Jakim memberikan penghargaan secara one-off kepada guru-guru KAFA yang bersara sebanyak RM10,000
Katanya, ramai guru KAFA berkhidmat lebih 20 tahun dan seharusnya diberi penghargaan, termasuk kuota menunaikan fardu haji kepada guru-guru KAFA yang telah berusia 60 tahun. – UTUSAN