KOTA BHARU: Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Mohd. Yusoff Mamat lantik sebagai Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa hari ini.
Majlis penyerahan serah terima tugas itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby memangku tugas Ketua Polis negeri berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos lalu.
Sementara itu Mohd. Yusoff dalam ucapannya berkata, beliau akan melaksana tugas dengan penuh dedikasi dan intergriti serta memastikan dasar-dasar kerajaan untuk kesejahteraan rakyat berjalan lancar sebagaimana saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi pasukan yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini.
“Bagi saya ia tanggungjawab dan tugas besar yang diberikan untuk menerajui Kontinjen Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob mahu seluruh warga kontinjen Kelantan memberikan sokongan padu kepada Mohd. Yusoff dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis negeri.
Beliau yakin Mohd. Yusoff mampu menggalas tugas sebagai Ketua Polis Kelantan dengan sebaik mungkin. – UTUSAN