PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selamat tiba di Kuwait semalam bagi memulakan lawatan kerja rasmi ke negara berkenaan.
Ketibaan Mohamed Khaled dan delegasi Kementerian Pertahanan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada pukul 6 petang (waktu tempatan) sebelum disambut Duta Besar Malaysia ke Kuwait, ‘Alauddin Mohd. Nor dan Ketua Staf Angkatan Tentera Kuwait, Leftenan Jeneral Bandar Salem Abdullah Al-Muzayan.
Mohamed Khaled berkata, semasa lawatan itu, beliau akan bertemu Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah.
Katanya, ia juga akan melibatkan pertemuan bersama rakan sejawat iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah.
“Di samping itu, saya juga akan mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber milik Tentera Udara Kuwait,” katanya.
Menerusi lawatan itu, delegasi Malaysia turut disertai Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan;Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd. Yani Daud selain pegawai kanan kementerian dan Markas Tentera Udara Malaysia.
Sebelum ini, Mohamed Khaled berharap kerajaan Kuwait dapat menimbang permintaan untuk menjual jet pejuang F/A-18 Hornet kepada Malaysia.
Beliau berkata, hasrat itu sudah disampaikan ketika lawatan pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke negara Asia Barat itu pada Jun lalu untuk membuat penilaian yang sewajarnya.
Ketika ini, Tentera Udara Kuwait memiliki sebanyak 39 buah pesawat pejuang jenis F/A-18 Hornet.
Bagaimanapun, jumlah pesawat yang bakal dibeli kerajaan masih belum dapat dipastikan memandangkan sedang menunggu persetujuan daripada kerajaan Kuwait berhubung perolehan itu.
Pada masa sama, perolehan jet pejuang itu dilihat menjadi antara pertimbangan dalam memperkukuh kekuatan TUDM seperti yang yang dirancang melalui pelan rancangan Capability 2055 (CAP55). – UTUSAN