MKN seru ahli GISBH daftar Program Rehabilitasi secara sukarela

MKN seru ahli GISBH daftar Program Rehabilitasi secara sukarela

Baharuddin Ahmad (tengah) dalam sidang akhbar khas mengenai Program Rehabilitasi secara sukarela bekas ahli-ahli GISBH di Bilik Mesyuarat MKN Kuala Lumpur, hari ini, -UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 20 pusat rehabilitasi dibangunkan di seluruh negara bagi menempatkan ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) meneruskan kelangsungan hidup mereka selepas tindakan penguatkuasaan diambil terhadap organisasi itu.

Pusat yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi terlibat adalah inisiatif kerajaan dalam usaha membimbing mereka untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Difahamkan, ketika ini seramai 10,500 ahli GISBH di seluruh negara dan dipercayai masih bebas.

Timbalan Ketua Pengarah MKN (Keselamatan Strategik), Datuk Baharuddin Ahmad berkata, ahli GISBH yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak kecil tidak seharusnya disisihkan.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka memerlukan bimbingan dan sokongan penuh kerajaan dan masyarakat bagi  memastikan aspek akidah dan kelangsungan hidup mereka terjamin.

“Bagi mencapai matlamat ini, semua ahli GISBH yang berada di seluruh negara tidak kira di Sabah atau Sarawak dijemput menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela bagi menjalani latihan kemahiran secara komprehensif serta pemulihan dari aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan dan kenegaraan.

“Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat selama tiga bulan di beberapa pusat latihan kerajaan terpilih selain disediakan penginapan, makan, minum sepanjang tempoh itu berlangsung.

“Bagi ahli yang berkeluarga, kita tidak akan pisahkan dan akan berusaha menyediakan penginapan untuk mereka bersama,” katanya dalam sidang akbar khas di sini hari ini.

Turut hadir sama, Ketua Pengarah MKN, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee serta Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dr Sopian Brahim.

Mengulas lanjut, Baharuddin berkata, mereka yang terbabit dengan pemulihan ini bukanlah dianggap sebagai pesalah sebaliknya mereka adalah mangsa yang memerlukan bimbingan selaras prinsip ihsan kerajaan Madani.

Justeru, beliau merayu, semua ahli GISBH di seluruh negara supaya mendaftar dalam program itu bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih lestari.

Beliau berkata, pendaftaran dibuka selama 30 hari bermula hari ini sehingga 14 November dan ahli GISBH yang ingin mendaftar boleh melayari https://form.jotform.com/242760538389468.

Mereka yang memerlukan bantuan pendaftaran boleh menghubungi pusat panggilan Jakim di talian 03-88707294/7295/7296 atau Bilik Situasi Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) MKN di talian 03-88880733 atau mendaftar di Jabatan Agama Islam Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.

“Peserta program ini akan dinilai oleh pengarah di setiap pusat mengenai tahap pemulihan mereka sebelum menamatkan program,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada peringkat awal ini MKN menyasarkan ribuan ahli GISBH yang akan mendaftar program ini.

“Permulaan ini, kita (MKN) tumpu ahli GISBH yang berada di dalam negara namun bagi mereka yang berada di luar negara, kita akan fikir usaha seterusnya.

“Kita (MKN) difahamkan GISBH juga mempunyai rangkaian perniagaan di 19 negara antaranya Australia dan New York,” ujarnya.

Baharuddin berkata, sekiranya ada diantara ahli GISBH yang ingin menyertai program namun mendapat sebarang ancaman atau ugutan, mereka boleh tampil membuat laporan.

“Jika ada yang menerima ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sila buat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut pihak polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya