Mindef masih berunding bawa pulang anggota Malbatt - Khaled Nordin

Mindef masih berunding bawa pulang anggota Malbatt – Khaled Nordin

KHALED Nordin ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband dan Penyerahan Memorandum Persefahaman antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang berunding dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) melalui Markas Angkatan Bersama bagi  membawa pulang pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mendapatkan laporan perkembangan anggota Malbatt sebanyak empat kali dalam sehari selain sedang meneliti beberapa perkara.

“Kita juga tidak menafikan bahawa pihak tentera Israel telah melakukan provokasi terhadap pasukan Iran yang berhampiran dengan sempadan Lubnan. Jadi kita tunggu keputusan bersama kerana ia tertakluk kepada UNIFIL.

“UNIFIL belum membuat keputusan untuk memindahkan anggota Malbatt dan kekal berada di sana kerana dibimbangi mereka berdepan cabaran lain.

“Selain itu, kita turut dimaklumkan untuk menghentikan segala operasi kawalan dan dinasihatkan untuk kekal berada dalam tempat perlindungan (bunker) dalam tempoh 12 hingga 13 jam,” katanya. 

Khaled berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband dan Penyerahan Memorandum Persefahaman antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di sini, hari ini.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, UNIFIL mengesahkan pasukan pengaman masih ditempatkan di pelbagai lokasi di seluruh Lubnan, dengan rancangan kecemasan sedia untuk diaktifkan jika diperlukan.

Sabtu lalu, jurucakap pasukan pengaman, Andrea Tenenti, mengesahkan tentera Israel memaklumkan kepada UNIFIL pada 30 September mengenai niatnya untuk melancarkan serangan darat terhad ke wilayah Lubnan dan meminta penempatan semula beberapa kedudukan pasukan itu.

Dalam perkembangan lain, Khaled berkata, permohonan memperoleh jet pejuang F/A-18 Hornet menerima maklum balas positif daripada Menteri Pertahanan Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah dalam pertemuannya baru-baru ini.

Jelasnya, perolehan itu bergantung kepada dua faktor iaitu persetujuan kerajaan Amerika Syarikat selaku pemilik pengilangan jet tersebut dan status penghantaran Super Hornet yang telah mereka peroleh.

“Selain itu, pembelian aset ini dilihat berbaloi kerana penggunaanya masih dalam lingkungan yang wajar atas faktor kelajuan penerbangan antara 2,000 km/h hingga 7,000 km/h.

“Hal ini kerana untuk membeli sebuah pesawat baharu, ia akan mengambil masa lebih kurang 10 tahun merangkumi aspek perundingan dan pembuatan selain memastikan ia selaras dengan kesesuaian dan kemampuan negara kita.

“Perolehan aset ini juga harus difikirkan segera dan ia sudah diambil serius sejak 2018 memandangkan pesawat Hawk yang terletak di Labuan tidak lagi mampu digunakan menjelang 2037,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya