SHAH ALAM: Pelakon, Aedy Ashraf, bersyukur usaha keras sebagai anak seni sepanjang 24 tahun terbalas setelah menggenggam trofi pertama sempena Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) malam tadi.
Tidak pernah menjadikan anugerah sebagai kayu ukur, Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 31, meletakkan keikhlasan sebagai kunci berkarya.
“Saya tidak pernah pegang apa-apa anugerah, tiba-tiba dinobatkan Pelakon Filem Popular. Saya bersyukur memandangkan saingan lain juga hebat.
“Saya tidak pernah letak anugerah sebagai kayu ukur sebab saya seronok bekerja seikhlas mungkin,” katanya.
Aedy ditemui Utusan Malaysia pada sidang media selepas pengumuman keputusan Anugerah Bintang Popular ke-36.
Dalam pada itu, Aedy turut menasihati anak muda agar menyimpan impian besar dan fokus kepada kerja.
“Saya juga berharap kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada anak muda kerana jalan ini tidak mudah.
“Tapi kalau kita fokus dan kerja keras, jangan merungut nescaya kita akan dapat apa yang diimpikan.
“Saya tunggu 24 tahun untuk ini. Angan-angan sangat penting. Bermimpilah setinggi mungkin kerana ia percuma,” jelasnya.
Terdahulu, Aedy menewaskan pesaing terdekat iaitu Amir Ahnaf, Hun Haqeem, Meerqeen dan Redza Rosli bagi kategori berkenaan.
Sementara itu, Aina Abdul menepati ramalan apabila dinobat sebagai Bintang Paling Popular. – UTUSAN